mk-logo
Berita
Muhyiddin: PRU-13 tentukan jatuh bangun Melayu
Diterbitkan:  Nov 29, 2011 2:08 PM
Dikemaskini: Nov 30, 2011 12:34 AM

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan anggota parti itu bahawa pilihan raya umum ke -13 adalah "ibu segala pilihan raya" yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu.

NONE Bahkan beliau yang juga timbalan perdana menteri turut membangkitkan kebimbangan sama ada kuasa politik akan kekal pada parti itu atau terlepas ke tangan pihak lain.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini.

"Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketiga-tiga sayap parti bersatu dan bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

'Jangan main belakang'

"Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak.

"Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam ini.

Peringatan itu dilontarkan susulan wujudnya persepsi kuasa Melayu semakin goyah susulan kemerosotan sokongan Umno dalam pilihan raya umum lalu dan ekoran dakwaan "fitnah jahat"

yang dilemparkan pada Umno.

Sementara itu, untuk mencapai kejayaan, Muhyiddin mengingatkan supaya tidak berlaku sabotaj dalam parti ekoran pemilihan calon pilihan raya.

"Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.

"Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati," katanya.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS