BERITA

Khairy: Calon Pemuda sudah disenaraikan

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Dis 2011, 1:16 pagi

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sudah menyediakan senarai calon muda pilihan raya untuk diserahkan kepada Presiden Datuk Seri Najib Razak.

Tegas Khairy, calon itu menggambarkan kehendak sebenar rakyat dan bukannya 'calon kabel' hasil tindakan melobi agensi kerajaan yang menyediakan laporan berkaitan seperti polis cawangan khas dan perisik tentera.

NONE "Saya sudah ada senarai pertama. Kita sudah mula nilai. Dalam iPad saya sudah ada, rahsia, calon boleh menang," katanya.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam perhimpunan Pemuda Umno di ibunegara, Khairy menempelak tindakan pihak tertentu yang berjaya sebagai "calon highway" dengan menjaga kepentingan beberapa orang sahaja.

"Kali ini kita pastikan bukan semata-mata bergantung kepada laporan agensi kerajaan, tetapi betul-betul calon yang dikehendaki rakyat," katanya disambut tepukan gemurah lebih 900 perwakilan.

 Menyentuh sikap merajuk sesetengah pihak yang tidak berjaya terpilih, Khairy turut berkongsi kisahnya yang tidak mendapat sebarang jawatan walaupun menang bertanding ketua Pemuda.

"Dah pernah dalam sejarah Pemuda Umno yang senasib dengan saya. Ada yang sebut Datuk (Zahid Hamidi senasib).

"Tetapi dia dilantik pengerusi BSN, kurang-kurang boleh bagi kad kredit. Saya nak bagi apa pun tak boleh," katanya.

Bagaimanapun, anggota parlimen Rembau itu berkata, selama tiga tahun beliau tidak merajuk sebab sayangkan parti dan pemimpinnya.

Dalam sidang media selepas itu, Khairy menjelaskan calon yang akan dikemukakannya mempunyai tasauwwur atau sudut pandang baru.

"Kalau kamu ada pandangan lama, kamu terkeluar dari senarai saya," katanya.

Terdahulu, wakil Majlis Tertinggi Datuk Seri Shahidan Kassim membangkitkan perkara sama berhubung masalah pemilihan calon.

Bekas menteri besar Perlis itu berkata beliau sendiri pernah mengalami masalah "kabel yang amat besar" yang menyebabkannya tidak dapat mengetengahkan calon boleh menang.

"Kalau letak kabel juga, Pemuda mesti bangun dan lawan," katanya disambut sorakan gamat.

Malah, perwakilan turut bangun dan memberikan tepukan kepada Shahidan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.