Kerajaan PKR Selangor bercadang menyiarkan nama-nama pemegang lesen perniagaan di negeri ini sebagai langkah membanteras atau mengurangkan amalan menyewakan premis mereka kepada warga asing.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim percaya langkah itu akan menghapuskan budaya menyewakan di kalangan pemegang lesen dan memastikan hanya pemegang yang sah menjalankan perniagaan.
"Langkah menyiarkan nama juga akan membolehkan orang ramai membuat aduan terhadap mana-mana firma jika mereka didapati mengurus atau menjalankan perniagaan selain daripada pemilik atau pemegang saham yang sah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "Selangor Medicare" di Taman Rakyat, Kampung Jalan Kebun dekat Shah Alam hari ini.
"Di bawah peraturan kini pihak berkuasa tempatan, pemilik sah premis perniagaan hendaklah menjalankan perniagaan mereka sekurang-kurangnya 35 jam seminggu bagi membolehkan lesen mereka boleh diperbaharui setiap tahun," tambahnya.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan memberikan amaran kepada mereka yang didapati menyewakan premis mereka kepada warga asing dan menyiarkan namanyanya, adalah sebagai langkah terakhir.
Sementara itu Pengarah urusan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata syarikat itu menyumbang sebuah van dan pacuan empat roda benilai RM200,000 kepada Biro Kesihatan Pergerakan Belia Islam Malaysia untuk digunakan dalam khidmat penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan khasnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata sumbangan van dan pacuan empat roda itu sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikatnya untuk mengangkut barangan dan klinik bergerak perubatan serta anggota bagi membantu mangsa bencana alam.
- Bernama
