Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Kementerian Dalam Negeri lewat petang ini akhirnya membenarkan secara lisan PAS menerbitkan Harakah dua kali sebulan, daripada lapan kali sebelum permitnya tamat semalam. Keputusan terbaru KDN ini yang dipercayai hasil mesyuarat kabinet pagi tadi disambut dengan kecaman dari Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor.

Bagaimanapun Harakah edisi Jumaat diputuskan tidak akan diterbitkan kecuali dalam edisi internet, di [#1]www.harakah.net[/#] Satu sumber di pejabat Harakah memberitahu malaysiakini bahawa segala keputusan lanjut akan dibincangkan dalam satu mesyuarat pada hujung minggu ini.

Lima orang ahli lembaga pengarah Harakah , yang diketuai oleh exco kanan kerajaan PAS Terengganu, Mustafa Ali dan turut dianggotai oleh Pengarah Urusan akhbar itu, Datuk Hishamuddin Yahya, dijangkakan bertemu pada Ahad depan. Isu-isu yang dijangkakan ditimbulkan ialah rayuan kepada KDN, cara beroperasi yang baru dan format penerbitan terkini tabloid itu.

Fadzil menyifatkan keputusan KDN itu sebagai "langkah zalim" dan "tidak menghiraukan pandangan umum yang menuntut kebebasan bersuara bagi seluruh rakyat."

"Pihak kerajaan seharusnya diingatkan bahawa isu yang dibangkitkannya selama ini ialah pengedaran akhbar tersebut, dan bukannya kekerapa penerbitannya," kata Fadzil dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .

Beliau juga melahirkan rasa kesal atas sikap keras KDN walaupun tabloid itu sudah mematuhi beberapa kali arahan kementerian untuk tidak mengedarkannya kepada umum. "Walaupun kaedah ini menjejaskan edaran Harakah , ia tetap dipatuhi," tambahnya.

Sementara itu, Ahmad Lutfi Othman bekas pengarang Detik , sebuah majalah yang tidak diperbaharui permit sejak tiga bulan lalu, menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai "mengundur ke belakang."

"Di semua negara Asean, kita melihat kebebasan akhbar semakin dibuka tetapi di negara ini, kerajaan semakin mengongkong," katanya kepada malaysiakini.

Lutfi menganggap tindakan pemimpin Umno dalam kerajaan itu sebagai tidak mempelajari kemerosotan pengaruh di kalangan orang Melayu yang merupakan sebahagian besar pembaca tabloid tersebut.

Jualan Harakah meningkat sebanyak enam kali ganda ke angka 360,000 naskhah setiap keluaran selepas peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada September, 1998.

Dalam pilihan raya umum November lalu, Harakah dijadikan saluran maklumat yang berkesan untuk menyampaikan idea PAS dan sekutunya dalam Barisan Alternatif. Tiga minggu selepas itu, KDN melancarkan operasi merampas Harakah dan memberikan surat tunjuk sebab mengapa tabloid itu tidak wajar diharamkan. KDN juga mengenakan syarat ketat agar tabloid itu dijual hanya di pejabat-pejabat parti dan kepada ahli PAS sahaja.

Sebelum itu, dalam satu sidang akhbar di pejabat Harakah , Hishamuddin berkata bahawa sepanjang 13 tahun beroperasi, inilah kali pertama tabloid itu menghadapi masalah memperbaharui permit.

"Selalunya seminggu sebelum tarikh permit tamat, KDN memberikan kelulusan," katanya.

Hishamuddin juga menafikan permit itu tidak diperbaharui kerana tuduhan ke atas pengarangnya, Zulkifli Sulong, di bawah Akta Hasutan selepas menerbitkan artikel bertajuk 'Liputan Pengakuan Sukma Hina dan Jahat: Dr Chandra'.

Zulkifli dan pemilik syarikat percetakan akhbar itu, Chea Lim Thye, akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selama lima hari bermula 22 Mei ini.

Hishamuddin berkata tiadanya keputusan mengenai pembaharuan permit itu telah menimbulkan "banyak kesulitan" dan menyebabkan kerugian kewangan kira-kira RM100,000 bagi setiap isu.

Harakah memohon permit untuk meneruskan penerbitan Harakah sebanyak lapan kali sebulan itu sejak bulan Disember tahun lalu lagi atas nama Jabatan Penerangan PAS Pusat. Sebelum ini, ia diterbitkan setiap Isnin dan Jumaat.

ADS