Tahun 2011, gandingan kata Faisal Tehrani dan ‘kontroversi’ di Google hanyalah “177,000 results ”. Saya berharap untuk melonjakkan lagi jumlahnya menjadi setengah juta untuk suku kedua tahun 2012.
Tahun 2011, karya saya menempa sejarah kerana diharamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Saya berharap dua buah manuskrip saya yang sedang dalam proses penulisan akan menempa nasib yang sama (ada penerbit yang mahu?).
It will be good in my CV untuk memohon jawatan sebagai felo di Oxford.
Tahun 2011, saya tidak begitu berjaya menyusup “agenda” saya dalam masyarakat, ramai orang dapat menghidunya.
Saya berhasrat untuk menjadi lebih berjaya berselindung seperti 'individu itu'. Saya akan mengeluarkan lebih banyak komen meski dalam bidang yang saya tidak ada kena mengena dan bukan kepakaran.
Tahun 2012, saya harap dapat mengundi. Tak sabar nak mengundi.
Tahun 2012, saya harap dapat mengkhatam dua lagi buah buku almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas dan tiga buah buku anakandanya, iaitu Profesor Madya Dr Syed Farid Alatas untuk melayakkan saya mendapat gelar " I am Attasian ".
Tahun 2012, saya harap berjaya mementaskan sebuah play tentang subjek kegemaran saya - wahabi. Mengapa?
Tahukah anda gandingan kata Faisal Tehrani dan Sunni di Google adalah 52,400 results . Sementara gandingan kata Faisal Tehrani dan Syiah pula hanyalah 16,800 results .
Paling mengejutkan gandingan kata Faisal Tehrani dan wahabi mengatasi semua, dengan jumlah 66,700 results .
Dalam pada itu gandingan kata Faisal Tehrani dan novelis hanya mencatat jumlah 144,000 results . Itu bagaimanapun masih tidak mengatasi gandingan kata Faisal Tehrani dan kalimat seksi, iaitu sebanyak 152,000 results .
Ternyata bacaan secara literal: "Faisal Tehrani adalah seorang novelis wahabi yang seksi" menurut Google.
Untuk itu semua berlaku, saya harap 2012 tak kiamat. Tak sabar menanti 2012!
Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Dr Mohd Faizal Musa merupakan pengarang terkenal dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
