Syarikat telekomunikasi terulung negara ini, Telekom Malaysia Berhad hari ini mendakwa tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung laporan berita yang menyebutkan syarikat itu menerima rasuah sebanyak 300 juta yen (RM10.64 juta). Telekom dalam satu kenyataannya lewat petang ini menjelaskan bahawa syarikat itu sentiasa mengikut tatacara mengeluarkan tender kontrak yang ketat dan tidak ada maklumat rahsia yang terbocor.
Syarikat itu juga mendakwa pemilihan dan persetujuan sesuatu projek diperhalusi oleh berbagai-bagai jawatankuasa bergantung pada jenis dan harga tender tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak mengetahui jika terdapat orang perseorangan dalam syarikat itu melakukan penyelewengan. "Syarikat tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang penyelewengan individu tertentu," kata Ketua Eksekutif Telekom, Datuk Mohamed Said Mohamed Ali, dalam satu kenyataannya kepada malaysiakini .
Beliau mengulas laporan berita dari Tokyo Jumaat lalu yang mendakwa Telekom menerima sejumlah besar wang dari sebuah syarikat Jepun, Mitsui & Co sebagai rasuah untuk membeli kotak suis. Jumlah wang itu dibayar kepada sebuah syarikat perunding di negara ini yang tidak wujud. Laporan akhbar Asahi Shimbun itu memetik satu sumber dari Biro Percukaian Serantau Tokyo.
"Kami menerima dakwaan itu sebagai sangat serius dan bersesuaian dengan dasar ketelusan dan akauntabliti syarikat, kami mengarahkan penyiasatan penuh dijalankan mengenai hal ini," kata Mohamed Said lagi. Telekom, menurutnya, akan meminta bantuan dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika siasatan dalaman badan korporat itu memerlukan tenaga pakar agensi antirasuah itu.
"Kami akan menunggu sehingga siasatan selesai," kata Said lagi.
BPR, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, bagaimanapun tidak bersedia memberikan sebarang ulasan.
Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed agar memberikan penjelasan berhubung isu ini di Dewan Rakyat pada hari kedua sidang esok. Kit Siang juga membidas sikap berdiam diri BPR terhadap laporan itu.
"Sikap berdiam diri BPR [berhubung laporan itu] paling memeranjatkan sedangkan seminggu lalu, Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Zaki membuat kenyataan akan memerangi rasuah dalam sektor swasta," kata Kit Siang dalam kenyataannya kepada malaysiakini hari ini.
Laporan akhbar utama di Jepun itu menyebutkan Mitsui mendapat tempahan daripada syarikat Telekom pada penghujung 1996 bagi membekalkan sejumlah 800,000 unit kotak suis. Kotak suis itu dihantar ke syarikat Telekom antara 1996 hingga 1998.
Mitsui membayar rasuah itu pada tahun 1997 kepada agen di negara ini mengikut kontrak jururunding sebagai 'komisyen' yang dinyatakan sebagai 'kerugian,' laporan akhbar itu dipetik. Tetapi biro percukaian Jepun percaya bayaran itu dibuat sebagai hadiah kepada orang lain dan dikategorikan sebagai 'yuran keraian' yang boleh dikenakan cukai.
Mitsui adalah kontraktor Jepun yang biasanya membayar 'komisyen' kepada orang tempatan yang berpengaruh yang memberikan maklumat kepada agensi luar negaranya apabila memenangi kontrak. Syarikat Jepun itu juga didapati membuat pembayaran yang meragukan itu sebanyak 100 juta yen lagi kepada Korea Selatan, Morocco, Jordan dan Qatar, sebut laporan itu lagi.
