Universiti Teknologi Malaysia akan menemui jawatankuasa penganjur ekspo kebudayaan Tionghua esok.
Bagaimanapun, kumpulan pelajar yang menganjurkan ekspo itu mendakwa mereka belum dimaklumkan secara rasmi tentang pertemuan yang dijangkakan diadakan sebelah petang.
Seorang jurucakap universiti itu memberitahu malaysiakini , Naib Canselor UTM, Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, kesal dengan kontroversi yang timbul dan berharap pertemuan ini dapat menjelaskan peranan pihak universiti dengan lebih terbuka kepada penganjur.
Sementara itu, Naib Pengerusi jawatankuasa program kebudayaan itu, Tan Hong Sin, berkata penganjur belum menerima sebarang surat berhubung mesyuarat yang dijadualkan diadakan di pejabat Naib Canselor itu.
"Saya tidak mendapat sebarang jemputan atau maklumat tentang pertemuan ini," kata Tan kepada malaysiakini tentang mesyuarat yang dijadualkan diadakan tadi seperti dilaporkan oleh The Star hari ini.
Mesyuarat tersebut akan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, Profesor Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali dan Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar, Mohd Tajuddin Othman.
Bagaimanapun jurucakap itu tidak bersedia mengulas butir-butir perbincangan yang akan dikemukakan dalam mesyuarat itu dan wakil-wakil pelajar yang akan terlibat pada jam 2:30 petang esok. Malaysiakini difahamkan wakil Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM tidak terlibat dalam mesyuarat itu.
Ekspo kebudayaan yang pada awalnya dijadualkan pada 13 dan 14 Februari lalu dan sepatutnya bertempat di Dewan Sultan Iskandar UTM telah berlangsung malam Sabtu lalu di perkarangan sebuah kolej swasta, Southern College, sejauh 13km dari universiti tersebut.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pemuda, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Tan Ah Chye, dengan kehadiran hampir 700 pengunjung.
Dalam ucapannya, Tan berpesan kepada pelajar supaya tidak berputus-asa menganjurkan majlis seumpama ini walaupun kebebasan pelajar kini semakin terhad dan mereka terpaksa menghadapi karenah birokrasi.
Cadangan pihak UTM untuk menangguhkan program kebudayaan itu pada Jun depan bagaimanapun disifatkan sebagai "tidak masuk akal" selepas sambutan Tahun Baru Cina berlalu selama lima bulan.
"Kenapa pihak universiti tidak mencadangkan ia diadakan pada tahun depan sahaja?" selar Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan kepada malaysiakini, sambil mendesak pihak universiti agar berterus terang mengakui kesilapan mereka.
Kit Siang berkata program pelajar UTM yang berjaya dilangsungkan sejauh 13 km dari kampus itu sebagai "sangat memalukan" institusi pengajian tinggi itu.
Beliau juga mendesak UTM agar menjadi kampus pertama merombak semua larangan yang menyekat kegiatan pelajar dan melancarkan "dasar demokrasi kampus" mulai minggu depan.
Ketua Pembangkang Datuk Fadzil Noor pula menyifatkan kejadian itu sebagai "tabiat diskriminasi Umno dan Barisan Nasional yang ketara dalam pilihanraya lepas telah terbawa-bawa ke dalam kampus dan seolah-olah sudah menjadi amalan di sesetengah pusat pengajian tinggi."
"Isu yang berlaku di kampus UTM itu sangat merisaukan saya," kata Fadzil lagi, sambil memberi jaminan bahawa parti-parti Barisan Alternatif akan memantau masalah ini secara serius untuk kesejahteraan hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, Sabtu lalu berkata beliau "berasa terganggu" dengan kejadian seumpama itu dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Tinggi di kementerian itu menjalan siasatan.
Jabatan itu bagaimanapun gagal dihubungi oleh malaysiakini hari ini.
