Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hanya sekitar 50 orang penyokong Saiful Bukhari Azlan – pengadu dalam kes Liwat II – hadir dalam perhimpunan di kawasan Masjid Wilayah Persekutuan ketika mahkamah menyampaikan keputusan perbicaraan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Kehadiran penyokong itu, di bawah panji Pertubuhan Permufakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), bagaimanapun sudah cukup untuk mencetus kekecohan dan juga pergaduhan kecil apabila mereka mula berarak ke kawasan mahkamah.

NONE Ratusan para penyokong Anwar kemudiannya mula mendekati kumpulan tersebut apabila pasukan berbaju kuning dengan slogan "anti sex bebas 901" itu mula keluar daripada kawasan masjid tersebut dan menuju ke mahkamah.

Perang mulut kemudiannya tercetus apabila kumpulan penyokong Anwar mula membantah tindakan kumpulan penyokong Saiful yang membawa kain rentang antaranya dengan slogan "tolak Anwar", "pertahankan sistem dan institusi kehakiman" serta "liwat tetap liwat."

NONE Polis antara lain menetapkan syarat supaya peserta perhimpunan hari ini tidak membawa apa-apa kain rentang.

Tolak menolak dan pergelutan kecil kemudiannya berlaku di antara beberapa orang kumpulan penyokong berkenaan apabila beberapa orang penyokong Anwar berusaha untuk merampas kain rentang berkenaan.

Keadaan kelam kabut itu juga menyebabkan beberapa orang terjatuh.

Selain itu, kumpulan pro-Saiful itu juga didakwa cuba mengedarkan salinan risalah yang didakwa sebagai "fakta kes" dalam perbicaraan kes Liwat II.

NONE Risalah berkenaan bagaimanapun berjaya dirampas oleh kumpulan penyokong Anwar.

Pergelutan di kawasan jalan berhampiran pusat penjaja medan selera itu berlaku sejurus sebelum mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebasakan Anwar daripada tuduhan tersebut.

Kumpulan penyokong Anwar ketika yang berang itu turut menghalau penyokong anti-Anwar itu supaya "balik."

Kumpulan pro-Saiful kemudiannya terpaksa berundur dan memasuki kawasan masjid semula apabila terus diasak oleh kumpulan pro-Anwar.

Sekumpulan anggota polis yang tiba beberapa minit selepas itu kemudiannya bertindak menutup pintu pagar masjid dan menghalang kumpulan pro Anwar yang melaungkan slogan reformasi, bertakbir dan berselawat.

Kumpulan tersebut kemudiannya hanya dibenarkan memasuki kawasan masjid, antaranya untuk menggunakan tandas, selepas polis selesai menyuraikan kumpulan pro-Saiful pada kira-kira jam 10.30 pagi.

Mahkamah hari ini membebaskan Anwar daripada tuduhan mengikut Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan.

VIDEO: 2-min

ADS