BERITA

Nasha pertahan Hasan, dakwa pemecatan drastik

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Jan 2012, 8:07 pagi

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menjelaskan, kehadirannya ke rumah Hasan Ali di Petaling Jaya kelmarin bagi menyatakan sokongan terhadap bekas pesuruhajaya PAS Selangor ekoran pemecatannya dari parti.

"Kerana atas dasar itulah saya hadir pada malam ini (kelmarin) kerana bukannya mudah tugas beliau dalam menegakkan agama tetapi diarah kiri, kanan, atas dan bawah," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian ketika berucap di rumah Hasan.

pas muktamar 130610 nasharuddin mat isa 2 Anggota parlimen Bachok itu malah melihat pemecatan Dr Hasan sebagai tindakan drastik dan mungkin juga sejarah dalam PAS.

Nasharudin ( kiri ) berkata, sebagai anggota Majlis Syura - badan tertinggi dalam PAS - beliau mahu mengumumkan bahawa Hasan boleh membuat rayuan dalam tempoh 30 hari, seperti terkandung dalam Peruntukan 83(3) perlembagaan parti.

"Sekiranya Hasan masih mahu berkhidmat di dalam parti ini beliau boleh membuat rayuan dalam tempoh tersebut dan peluang serta ruang masih ada.

"Setakat ini saya masih belum berhubung dengannya tentang perkara itu," katanya seperti dilaporkan harian berbahasa Melayu itu.

Bagaimanapun, kata Nasharudin, beliau masih mahukan Dr Hasan, yang juga exco kerajaan Selangor, terus berkhidmat dan tidak mahu perkara tersebut menimbulkan polemik.

"Jangan hanya kerana kita bercakap dengan orang Umno kita dikatakan nak jadi Umno.

NONE "Kerana kita bercakap dengan akhbar Umno maka kita nak jadi Umno. Harap selepas ini politik kita menjadi matang," katanya.

Rani tolak ganti Hasan

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ( kanan ) ketika ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap pemimpin seperti Nasharuddin -- yang menyokong Dr Hasan -- berkata tindakan sama akan dipertimbangkan.

"Jika ada kes kita akan pertimbangkan, kita tidak larang mereka hadir beri sokongan, mungkin mereka pergi sana hendak dengar saja," beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian .

NONE Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhajaya PAS Selangor Dr Rani Osman ( kiri ) berkata, beliau berharap tidak tidak dicalonnya sebagai exco Selangor menggantikan Dr Hasan yang mahu disingkirkan daripada kerajaan negeri.

"Lagi elok sekiranya orang lain dicalonkan untuk jawatan itu, saya khuatir dengan tanggungjawab sebagai exco kerajaan negeri itu tidak mampu saya pikul.

"Namun, semuanya terpulang kepada keputusan pimpinan tertinggi PAS Pusat. Kami di peringkat PAS negeri hanya menerima apa jua keputusan," beliau dipetik sebagai berkata.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.