Najib lancar SARA 1Malaysia, permohonan dibuka 30 Jan

       

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah, akan dibuka untuk permohonan mulai 30 Januari.

    

Najib berkata skim khusus untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah itu mempunyai ciri-ciri kelainan menarik yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini.

Katanya ia merupakan satu produk pelaburan unit amanah yang digabungkan dengan produk pinjaman bagi menghasilkan satu produk hibrid yang mampu menjana aliran pendapatan tunai atau insentif bulanan yang konsisten.

    

"Hadnya ialah RM5,000, dan mereka boleh membelinya melalui simpanan atau memohon pinjaman pelaburan daripada institusi kewangan terpilih.

    

"Daripada pelaburan itu, kita jamin mereka akan menikmati pendapatan RM134 sebulan, manakala yang membuat pinjaman, mereka hanya perlu membuat pembayaran balik sebanyak RM84 sebulan dan meraih untung RM50 sebulan," katanya ketika melancarkan skim tersebut di ibu negara.

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman serta menteri-menteri kabinet.

    

Dalam Belanjawan 2012, Najib mengumumkan skim tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan golongan berpendapatan rendah menabung dan melabur serta membantu mereka menangani kesan kenaikan kos sara hidup semasa.

    

Skim yang dikendalikan PNB dengan kerjasama institusi kewangan terpilih seperti Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) itu dijangka memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah.

   

Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Pelabur dijangka mendapat pulangan menarik di akhir tempoh lima tahun tersebut dengan memperoleh pendapatan kira-kira antara RM5,000 hingga RM13,000 termasuk pulangan daripada pelaburan dalam Amanah Saham 1Malaysia.

     

Najib berkata kerajaan telah melancarkan pelbagai produk di bawah slogan 1Malaysia yang bertujuan memberi manfaat kepada rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan Program Perumahan 1Malaysia.

Beliau menarik perhatian bahawa pelancaran SARA 1Malaysia pula diterjemahkan sebagai produk yang membantu golongan rakyat berpendapatan rendah.

    

"Ini adalah usaha kerajaan untuk membela rakyat. Banyak produk yang telah kita lancarkan dalam tempoh kurang daripada tiga tahun, cuba bayangkan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

    

Malaysiakini
terkini untuk anda