Dua beradik, yang masing-masing dihukum penjara lima tahun kerana membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, dua tahun lalu, kini boleh meneruskan rayuan terakhir mereka terhadap sabitan dan hukuman.
Ini selepas panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Sulaiman Daud membenarkan permohonan Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 25 dan Raja Muhammad Idzham, 23, untuk melanjutkan masa untuk memfailkan petisyen rayuan mereka.
Hakim Sulaiman, yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad kemudian menetapkan 13 Feb ini untuk mendengar rayuan untuk menepikan sabitan dan hukuman penjara.
Ini merupakan rayuan terakhir dua beradik itu selepas gagal dalam rayuan mereka apabila Mahkamah Tinggi pada 27 Mei tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Mereka kemudian memohon tempoh lanjutan masa menerusi peguam baru mereka Salim Bashir apabila petisyen rayuan difailkan pada 18 November tahun lalu selepas tempoh untuk memfailkan permohonan itu telah tamat.
Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan mereka itu supaya menggunakan petisyen 18 November itu dalam mendengar kes rayuan pada 13 Februari ini.
Dalam prosiding terakhir pada 14 Disember tahun lalu, Salim memberitahu mahkamah beliau dilantik untuk mewakili dua beradik itu pada peringkat rayuan pada 15 November tahun lalu.
Katanya beliau tidak mengetahui bila rekod rayuan diserahkan kepada peguam sebelum ini yang mewakili dua beradik itu di Mahkamah Tinggi.
Raja Muhammad Faizal, seorang penghantar surat dan Raja Muhammad Idzham, 23, seorang pekerja bank, masing-masing dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2010, kerana melakukan khianat dengan membakar gereja tersebut.
Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut di Gereja Metro Tabernacle, Jalan 4/4C, Desa Melawati, Wang Maju, Kuala Lumpur pada pukul 11.50 malam 7 Januari 2010.
Mereka didakwa bersama beberapa orang lain yang masih bebas.
Mahkamah Sesyen itu juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga selesai rayuan dan dikenakan ikat jamin RM20,000 setiap seorang.
Pada 30 Julai, 2010, seorang rakan kepada dua beradik itu, Azuwan Shah Ahmad, 24, yang didakwa bersama dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri.
- Bernama
