Hanya tinggal sehari lagi, kaum Tionghua akan menyambut kedatangan Tahun Baru Cina dan kemeriahannya jelas terasa walaupun dalam suasana yang serba sederhana.
Tinjauan Bernama di sekitar Jalan Petaling, Pasar Chow Kit dan Pusat membeli-belah Sogo di ibu negara, mendapati suasana kurang meriah berbanding sambutan pada tahun lepas kerana sebahagian warga kota telah pulang awal ke kampung halaman.
Menurut pemilik kedai cenderamata, Chen Tian Loy, 25, sambutan pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun lepas kerana kebiasaannya pada ketika ini (menjelang Tahun Baru Cina) ramai masyarakat Cina akan berpusu-pusu 'belanja besar' bagi mendapatkan barangan perhiasan rumah di saat akhir.
"Namun pada tahun ini jualan agak kurang...ini kerana sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina yang terlalu dekat jadi mereka perlu memperuntukkan perbelanjaan tertentu bagi kedua-dua perayaan tersebut," katanya kepada Bernama di ibunegara hari ini.
Katanya lagi, sempena Tahun Naga replika haiwan tersebut merupakan antara perhiasan yang mendapat sambutan menggalakkan kerana dipercayai akan membawa nasib yang baik kepada mereka.
Seorang peniaga, Yap Yu Chuan, 28, berpendapat tahun ini kebanyakan masyarakat Cina memilih untuk berbelanja secara berhemah lantaran situasi ekonomi yang tidak menentu.
"Kebanyakan mereka memilih untuk membeli barangan perhiasan yang boleh diguna pakai semula seperti tanglung dan bunga plastik bagi mengelakkan pembaziran tetapi tetap mengekalkan suasana yang meriah," katanya.
Sementara itu, segelintir pembeli yang ditemui turut melahirkan pandangan sama di mana kebanyakan mereka memilih untuk membeli barangan perhiasan yang perlu sahaja.
Seorang suri rumah dari Kuala Selangor, Irine Tey, 57, berkata beliau hanya memperuntukkan kira-kira RM500 untuk membeli barangan perhiasan rumah pada tahun ini berbanding RM800 pada tahun lepas.
"Tahun ini ekonomi turun naik jadi tak boleh berbelanja sesuka hati...tetapi sesetengah barangan hiasan seperti tampalan kertas merah di dinding perlu dibeli baru untuk membawa tuah dan membawa keluar nasib malang," katanya.
Perunding unit amanah, Chung Pey Shyan, 50, berkata tahun ini beliau hanya berbelanja untuk bunga segar bagi upacara ibadat manakala kelengkapan perhiasan lain beliau akan menggunakan barangan sedia ada.
"Golongan yang berpendapatan sederhana serta mempunyai ahli keluarga yang ramai macam saya memerlukan saya untuk berbelanja dengan bijak dan berjimat cermat," katanya.
Pemilik kedai kek dan pastri, Kee Mei Kheng, 32, turut menghadapi situasi yang serupa di mana setiap tahun beliau akan menyediakan perbelanjaan khusus untuk membeli barangan kelengkapan perhiasan untuk kedai dan kediamannya.
"Rasanya tidak lengkap sekiranya rumah dan kedai saya tidak dihiasi perhiasan sempena Tahun Baru Cina ini walaupun sederhana tetapi cantik dan berdasarkan kepercayaan tradisi ia akan membawa tuah dalam perniagaan dan kehidupan saya," katanya.
Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tahun ini merupakan Tahun Naga Air, iaitu haiwan kelima daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina, dan akan lahir pada 23 Januari.
Naga samawi ini merupakan lambang tersohor dalam mengecapi kejayaan serta kebahagiaan dan masyarakat Cina percaya tahun baru ini akan membawa rezeki yang melimpah ruah kepada mereka yang dilahirkan pada Tahun Naga.
- Bernama
