Persatuan Jururawat Malaysia hari ini tidak menafikan terdapat usaha-usaha kerajaan ke arah mengkorporatkan hospital. Bagaimanapun, persatuan itu enggan mengulas lanjut usaha-usaha tersebut kerana Kementerian Kesihatan belum mengeluarkan sebarang surat pekeliling berhubung hal tersebut.
Bagaimanapun, persatuan itu menafikan mempunyai maklumat tentang desas-desus pertukaran skim gaji jururawat di sebuah hospital kerjaaan. Menurut seorang jurucakap persatuan yang tidak mahu dikenali, Skim Saraan Baru (SSB) masih dipakai dan tidak ada sebarang pindaan skim gaji pengkorporatan seperti yang didakwa.
Pertengahan tahun lalu, desas-desus pengkorporatan hospital kerajaan mendapat bantahan banyak pihak. Pengkorporatan kesihatan sektor awam itu dijangkakan berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun ini.
Inisiatif Kesihatan Warga Malaysia (CHI) waktu itu menjalankan kempen menghantar surat bantahan kepada kementerian berkenaan setelah mendapat maklumat bahawa kerajaan pernah berbincang mengenai hal itu dalam satu mesyuarat antara pegawai-pegawai tinggi kesihatan di Port Dickson pada awal tahun itu.
Seramai 117 orang doktor menurunkan tandatangan dalam tempoh kurang daripada seminggu kempen tersebut. Menjelang pilihanraya umum November lalu, parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan mengingatkan pengundi bahawa langkah pengkorporatan akan menjadi kenyataan jika Barisan Nasional masih menguasai kerajaan.
Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng bagaimanapun menafikan langkah kerajaan itu dan seterusnya memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengambil langkah sedemikian.
Kebimbangan orang ramai muncul kembali apabila pertengahan bulan lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) bercadang mengadakan satu skim kesihatan mulai Jun depan. Kesatuan sekerja kakitangan awam juga menubuhkan skim kesihatan yang dinamakan 'CuepacsCARE'.
Persatuan jururawat itu percaya skim insurans kesihatan antara KWSP-LIAM adalah langkah awal kerajaan ke arah usaha pengkorporatan. Dua skim insuran ini menerima bantahan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan CHI.
Pengerusi Eksekutif KWSP, Tan Sri Sallehuddin Mohamed, dalam satu kenyataan kepada pada Isnin lalu bagaimanapun menjelaskan bahawa cadangan insuran kesihatan itu "masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan dan belum ada keputusan dibuat mengenainya." LIAM, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, tidak bersedia memberikan ulasan.
Satu sumber di Kementerian Kesihatan menyebutkan kajian kemungkinan untuk menswastakan hospital pernah dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri. Menurut sumber, kajian itu dijalankan beberapa tahun lalu oleh sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin tertinggi kerajaan dan tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Namun, Pengarah Seksyen Perkhidmatan Sosial EPU, Zainab Abdul Karim, apabila dihubungi malaysiakini hari ini menafikan kajian tersebut pernah dijalankan oleh unit itu.
Setakat ini hanya bahagian bekalan ubat-ubatan dan lima khidmat sokongan yang telah diswastakan. Bekalan ubat yang diswastakan ini hanya melibatkan item-item tertentu dan tidak secara menyeluruh. Manakala lima perkhidmatan sokongan itu ialah: peralatan kejuruteraan, kejuruteraan bioperubatan,pengurusan sisa klinik, khidmat pembersihan dan khidmat dobi.
