Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM gesa tentera tolak kelompok gila kuasa
Diterbitkan:  Jan 29, 2012 6:39 AM
Dikemaskini: 8:25 AM

Kerajaan sentiasa mengharapkan bekas anggota tentera dan polis bergandingan dengannya dalam mengekalkan kedaulatan negara daripada suara yang mempersoalkan perlembagaan negara, hak keistimewaan Melayu dan institusi diraja, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pilihan raya mungkin tidak lama lagi dan kita tidak mahu negara kita dibentuk oleh kelompok gila kuasa yang mempertikai banyak perkara di dalam perlembagaan.

"Itu adalah hak kita, jadi peranan bekas anggota tentera dan polis amat penting supaya kuasa politik dapat dipertahankan," timbalan perdana menteri dilapor sebagai berkata oleh Bernama .

Berucap pada majlis perhimpunan bekas tentera dan polis serta keluarga di Muar, Muhyiddin berkata walaupun tidak lagi aktif, jiwa kental bekas anggotanya penting kepada masyarakat dan negara dalam mencapai negara maju pada tahun 2020.

Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh berkata kerajaan dalam masa yang sama tidak akan meminggirkan bekas anggota tentera dan polis kerana mereka juga berhak mendapat bahagian yang sama seperti kelompok masyarakat lain menerusi Model Baru Ekonomi.

Katanya, kerajaan memberikan pelbagai bantuan kepada bekas tentera dan polis serta keluarga mereka termasuk menyediakan program usahawan dan bantuan pendidikan kepada anak-anak.

"Biarpun sudah dipanggil bekas, saudara semua tetap anggota penting dalam masyarakat. Hari ini negara kita di ambang kemajuan sejak 54 tahun merdeka dengan dikenali di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah sumbangan saudara semua kerana Malaysia tidak akan berdiri teguh bersama negara lain di dunia kalau tiada rakyatnya yang sanggup berkorban. Kita sudah mencipta banyak kejayaan luar biasa termasuk menangani kemiskinan," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan RM100,000 kepada persatuan bekas anggota tentera dan RM30,000 untuk persatuan bekas polis daerah Muar, lapor agensi berita nasional itu lagi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani.

ADS