Filipina berkata ia telah membunuh tiga militan Islam yang paling dikehendaki di Asia Tenggara dalam satu operasi yang dibantu oleh serangan udara AS hari ini, termasuk seorang pembuat bom rakyat Malaysia yang ditawarkan ganjaran AS$5 juta (RM15 juta).
Tentera Filipina, yang dibantu oleh para penasihat Amerika, melancarkan pengeboman awal pagi di sebuah pulau terpencil di selatan di mana 15 anggota Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan al-Qaeda terbunuh, kata ketua tentera.
"Ini adalah satu kemenangan besar. Terdapat tiga pemimpin kanan (dibunuh). Ini akan mempunyai impak yang sangat besar terhadap keupayaan pengganas," kata komander tentera serantau, Mej-Jen Noel Coballes kepada pemberita melalui satu tele-persidangan.
Pesawat mengebom pinggir sebuah kampung di pulau Jolo di mana sumber perisikan memaklumkan kepada tentera bahawa ia menjadi pangkalan kira-kira 30 militan, kata Coballes.
Menurut tentera, antara yang terbunuh ialah Zulkifli Abdul Hir (kiri), alias Marwan, seorang rakyat Malaysia yang dituduh menjadi anggota kanan rangkaian pengganas serantau Jemaah Islamiah dan didakwa menjadi dalang di sebalik beberapa serangan bom di Filipina.
Dia juga dituduh menjadi ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), sebuah kumpulan seperti Jemaah Islamiyah yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam di rantau Asia Tenggara.
Pada tahun 2007, kerajaan AS menawarkan ganjaran AS$5 juta untuk menangkapnya - menjadikan Zulkifli antara salah seorang yang paling dikehendaki Amerika Syarikat.
Menurut lamanweb Jabatan Negara Amerika yang menyiarkan maklumat mengenai orang yang yang paling dikehendaki kerana keganasan, hanya empat orang ditawarkan ganjaran paling tinggi, antaranya ialah ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Di Malaysia, pihak berkuasa menyambut baik berita kematian Zulkifli.
"Kami mengalu-alukan berita kematiannya ketika pasukan keselamatan di rantau ini meneruskan tindakan terhadap militan seperti itu," kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua pasukan petugas khas membasmi keganasan di Malaysia, kepada AFP.
[Baca berita penuh]
