Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur kata debat Lim-Chua tidak perkauman

Dengan suhu semakin meningkat menjelang pertembungan antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Chua Soi Lek esok, ada pihak yamg mengkritik debat tersebut sebagai perkauman.

Bagaimanapun, penganjurnya, Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) menafikan bahawa debat itu dianjurkan untuk masyarakat etnik tertentu.

Perdebatan atas tajuk 'Kaum Cina di persimpangan: Apakah sistem dua parti menjadi sistem dua-bangsa?' itu merupakan kemuncak persidangan sehari  esok.

NONE Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Datuk Michael Yeoh (kanan)

berkata topik bagi sesi pertama persidangan tersebut adalah mengenai perubahan landskap politik Malaysia, yang memberi kesan kepada semua kumpulan etnik.

"Tiada apa yang perkauman tentang persidangan tersebut. Setiap kumpulan etnik perlu mempunyai demokrasi dan masyarakat sivil yang lebih baik," katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini.

"Hanya debat tersebut sahaja yang akan dijalankan dalam bahasa Cina, tetapi itu atas permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim),"  katanya.

Walaupun begitu, hadiran dialu-alukan untuk mengemukakan soalan kepada penceramah dalam bahasa Inggeris.

Mengenai cadangan Lim supaya diadakan perdebatan susulan dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris, Yeoh berkata, ASLI bersedia untuk menganjurkannya.

NONE "Tetapi biarlah tunggu sehingga acara esok selesai dengan jayanya, dan barulah kita boleh bercakap mengenai sesi akan datang," tambah naib presiden kanan ASLI, Ng Yen Seen (kanan).

Menurut Ng, Lim dan Chua masing-masing akan diberikan lapan minit untuk menyampaikan pandangan mereka mengenai topik yang disediakan, diikuti dengan satu soalan dari moderator.

Hadirin pula akan diberi tiga minit untuk mengemukakan soalan, diikuti dengan soal-jawab antara Lim dan Chua serta ucapan penutup mereka.

Ruang tambahan dengan 50 lagi tempat duduk akan disediakan, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 250. Kerusi yang diperuntukkan untuk penyokong MCA dan DAP kekal masing-masing 200.

Debat itu akan disiarkan secara langsung dari Berjaya Times Square di Astro AEC dan YouTube, manakala skrin besar akan turut disediakan di luar dewan debat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan persidangan tersebut, yang akan menampilkan penceramah terkemuka dari kedua belah parti politik, seperti Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Pengerusi DAP,  Tan Seng Giaw dan Timbalan Menteri Pelajaran, Wee Ka Siong.

Persidangan politik itu dijadualkan bermula pada pukul 9.30 pagi manakala debat antara Lim dan Chua dijadual pada pukul 5 petang.

 

ADS