Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rundingan di antara syarikat pembinaan laluan MRT di Jalan Sultan dan pemilik tanah di kawasan berkenaan kini menemui jalan buntu ekoran tindakan syarikat tersebut yang didakwa "enggan mengalah" untuk mengalih jajarannya supaya tidak melalui kawasan tersebut.

NONE "Enam bulan sudah berlalu tapi kita masih belum capai apa-apa," kata pengerusi NGO Jawatankuasa Pemuliharaan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan, Yong Yew Wei yang menegaskan, jawatankuasa itu tidak akan meneruskan lagi rundingan dengan MRT Corp.

Sebaliknya, jawatankuasa itu akan menjalankan kempen mengutip tandatangan untuk dimasukkan dalam bantahan mereka ke atas projek pembinaan laluan bawah tanah itu kepada perdana menteri.

Tambahnya, NGO itu juga akan menghalang projek pembinaan itu secara fizikal apabila ia dimulakan kelak.

"Kita akan buat apa yang sepatutnya untuk pertahankan Stesen Bas Klang, pusat membeli-belah Uda Ocean dan juga Plaza Warizan.

"Secara fizikalnya, kita harus hentikan mereka," katanya lagi ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini.

Tindakan itu diambil ekoran kenyataan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang menyatakan kesediaannya untuk berbincang mengenai hasrat pemilik tanah di sekitar kawasan berkenaan supaya jajaran semula dibuat.

Bagaimanapun, MRT Corp kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyangkal kenyataan perdana menteri berhubung usaha untuk membuat jajaran semula projek berkenaan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ketua pegawai eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid pada 10 Februari lalu yang menegaskan bahawa pihaknya "tidak melihat adanya sebab mengapa beberapa penduduk di situ menuntut jajaran semula (dilakukan)."

Azhar juga berkata, beliau yakin perdana menteri akan menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memutuskan sama ada sesuatu cadangan itu praktikal untuk dilaksanakan.

Yong menyifatkan kenyataan itu sebagai tindakan angkuh syarikat MRT Corp yang juga didakwa enggan mendengar hasrat penduduk berkenaan berhubung projek itu, katanya lagi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan Azhar bahawa hanya dua orang pemilik yang masih belum bersetuju dengan syarat perjanjian untuk pembinaan berkenaan.

Sedangkan, tiada seorangpun daripada 21 orang pemilik berkenaan yang telah bersetuju dengan syarat perjanjian berkenaan, kata Yong lagi.

Azhar dalam satu sidang media minggu lalu berkata hampir kesemua pemilik tanah itu telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersama dengan MRT Corp kecuali dua orang pemilik tanah – Lok Ann Coffee Shop dan Yan Keng Benevolent Dramatic Association.

"Dia bercakap bohong. Tiada satu pun di antara (penduduk dan pemilik bangunan) yang telah tandatangan," kata Yong lagi.

Pemilik tanah berkenaan antara lainnya bimbang kerana MRT Corp setakat ini masih belum dapat menjamin bahawa mereka dapat terus menduduki bangunan berkenaan apabila pembinaan itu siap kelak.

Kumpulan itu juga telah mencadangkan supaya jajaran itu dialih supaya melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock untuk mengelakkan projek itu daripada menjejaskan bangunan bersejarah di Jalan Sultan.

Seorang daripada pemilik bangunan yang terjejas, Jimmy Chok berkata MRT Corp telah memberi jaminan untuk membayar kos mereka untuk berpindah daripada kawasan itu sementara pembinaan dijalankan.

"Kemudian mereka akan jalankan penyelidikan untuk memastikan kawasan itu masih sesuai untuk diduduki," kata paderi di gereja Kuala Lumpur Gospel Hall itu.

Jabatan Tanah dan Galian bagaimanapun telah memberi kata dua kepada pemilik tanah berkenaan supaya mencapai persetujuan dengan MRT Corp sekiranya tidak mahu tanah tersebut dirampas.

Satu surat yang dihantar kepada tuan tanah berkenaan memberi amaran bahawa jabatan itu boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pengambilan balik tanah di sepanjang Jalan Sultan untuk pembinaan projek MRT.

ADS