Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas timbalan pengarah Imigresen dibebaskan
Diterbitkan:  Feb 29, 2012 1:32 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar hari ini bebas daripada sabitan atas tuduhan rasuah dan hukuman penjara serta denda, setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuannya.

    

Hakim Datuk Ghazali Cha yang membuat keputusan itu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama enam tahun serta denda RM620,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

    

Yusuf, pada 20 Disember 2010, dijatuhi hukuman tersebut setelah didapati bersalah terhadap 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China.

    

Dalam penghakimannya, Ghazali berkata kes tersebut melibatkan perantaraan dengan seseorang yang dikenali sebagai 'atuk' tetapi individu 'atuk' ini tidak dipanggil memberi keterangan bagi mengesahkan fakta bahawa dia mengambil duit dari Yusof.

    

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga hanya bergantung kepada tulisan tangan Yusof yang menandakan 'lulus' pada dokumen sedangkan ia bukanlah bukti Yusof telah dibayar kerana sebagai timbalan pengarah, Yusof berkuasa untuk meluluskan.

    

Ghazali berkata pendakwaan juga gagal membuktikan elemen penerimaan wang oleh Yusof.

    

Yusof, 58, didakwa menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

    

Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di pejabat beliau bertugas di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan di Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu.

    

Yusof yang ditemui pemberita selepas prosiding memberitahu bahawa beliau gembira dengan keputusan mahkamah dan bersyukur kerana dibebaskan.

    

Beliau diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd

Sophian Zakaria.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS