mk-logo
Berita
AELB: Lynas perlu kemuka pelan tapak pelupusan kekal
Diterbitkan:  Feb 29, 2012 8:45 AM
Dikemaskini: 8:59 AM

Syarikat perlombongan nadir bumi, Lynas Sdn Bhd di Gebeng, Kuantan tetap perlu mengemukakan kepada kerajaan pelan atau lokasi tapak pembuangan kekal (PDF) dalam masa 10 bulan walaupun ia mendakwa sisa atau buangan industrinya akan dikitar semula sepenuhnya.

    

NONE Ketua Pengarah Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Datuk Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata ia penting sebagai jaminan bahan buangan industri dari kilang itu tidak terdedah dan membahayakan kesihatan orang awam sekiranya Lynas tidak dapat mengitar semula bahan berkenaan.

    

"Selagi Lynas tidak kemukakan lokasi dan pelan PDF berkenaan dan mematuhi beberapa syarat yang lain, kerajaan tidak akan membenarkan Lynas beroperasi walaupun ia telah mendapat lesen operasi sementara (TOL) daripada AELB baru-baru ini.

    

"Ini kerana ada kerisauan di kalangan orang awam mengenai PDF dan pada masa sama kerajaan prihatin tentang kesihatan dan keselamatan orang awam serta mahukan Lynas bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya mereka gagal mengitar semula sisa industri kilang mereka," katanya.

    

NONE Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen  Ekonomi Negeri Pahang 2012 di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Mengulas lanjut, Raja Abdul Aziz berkata Lynas juga perlu menjawab surat jaminan yang mewajibkan syarikat berpangkalan di Australia itu menerima semua sisa buangan industri sekiranya operasi syarikat itu di Gebeng, 'gulung tikar'.

    

"Mereka juga perlu memberitahu kepada kerajaan tarikh sebenar bila mereka akan membayar wang jaminan RM50 juta yang akan dibayar secara ansuran, dan sehingga mereka penuhi syarat-syarat tersebut, baru mereka dibenarkan beroperasi," katanya.

    

NONE Katanya AELB sebagai badan yang bertanggungjawab dalam isu ini akan melantik pihak ketiga dalam kalangan pemantau bebas yang akan bersama-sama dengan Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan Lynas menepati semua ciri-ciri keselamatan dan kesihatan sekiranya ia beroperasi kelak.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini