BERITA Malaysiakini

PM: Sisa Lynas akan dipindah ke lokasi jauh dari penduduk

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan akan dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari penempatan penduduk.

    

Perdana Menteri berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira soal kelegaan masyarakat tempatan daripada segi psikologi dan emosi.

    

"Walaupun saintis sudah mempunyai bukti termasuk akuan dari badan-badan antarabangsa sisa buangan itu selamat tetapi kerana masih ada orang yang tidak puas hati yang membabitkan soal emosi dan psikologi, jadi kita putuskan kena pindahkan sisa buangan itu ke tempat yang lebih jauh," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama Profesional Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    

Najib berkata kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak.

Perdana Menteri menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

    

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

    

Isu Lynas telah dimanipulasi oleh pembangkang dengan mengajak rakyat berdemonstrasi di beberapa tempat pada Ahad lepas.

- Bernama