BERITA

PAS: Phahrolrazi, Ismail perlu terima jawatan semula

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mac 2012, 5:57 pagi

PAS mengumumkan hari ini bahawa dua orang anggota exco kerajaan Kedah -- Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh -- perlu menerima semula jawatan berkenaan.

Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu tersebut diputuskan demikian dalam mesyuarat khas di antara pemimpin berkenaan Sabtu lalu, termasuk bersama pesuruhjaya negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

NONE

Mesyuarat tertutup itu diadakan untuk membincangkan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur Khamis lalu gagal menemui jalan penyelesaian.

Mustafa berkata, PAS "optimis" bahawa kedua-dua pemimpin berkenaan akan berbuat demikian.

Namun parti itu setakat ini masih belum mendengar maklum balas daripada kedua-dua pihak berkenaan dan Ismail juga tidak hadir ke mesyuarat tersebut, katanya.

"Tak ada tempoh (untuk beri maklum balas)... Secara rasmi kita belum terima pada hari ini, ia tidak terikat kepada sehari atau dua hari," katanya.

Mustafa juga enggan membuat andaian sekiranya Phahrolrazi dan Ismail tetap enggan mengangkat sumpah sebagai anggota majis mesyuarat kerajaan negeri.

Mustafa juga enggan mendedahkan butiran yang dibangkitkan Phahrolrazi dan Ismail dalam mesyuarat itu, walau terus diasak wartawan dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Tambahnya, tindakan kerajaan negeri dalam isu AUKU juga tidak ditimbulkan dalam mesyuarat tersebut.

"Ia juga tidak ada kena mengena dengan pengagihan kerusi pilihan raya," katanya lagi.

Ditanya lanjut, Mustafa berkata dakwaan berhubung tuntutan Phahrolrazi untuk menjawat jawatan pesuruhjaya juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut.

Selain itu, Mustafa berkata PAS juga akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk membantu kelicinan pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

"Kita tidak campur pentadbiran per se , tidak boleh campur, tapi kita boleh berikan pandangan berkenaan perjalanan (pentadbiran).

"Kerajaan yang kita pimpin itu atau yang kita terlibat (bertanggungjawab) maklumkan apa dia program yang dijalankan dan kita boleh beri pandangan kita," katanya.

Keanggotaan jawatankuasa berkenaan, yang diaktifkan di Kedah selepas PAS merampas negeri itu pada 2008, akan diputuskan dalam mesyuarat parti itu pada 12 Mac.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.