Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Ramai pengundi terambang-umbing cari saluran mengundi
Published:  Mar 21, 2004 1:50 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Sebahagian besar pengundi di Selangor menghadapi masalah tidak mempunyai saluran mengundi menyebabkan proses pengundian di beberapa pusat berkenaan tidak berjalan lancar.

Menurut lapoaran Bernama , kebanyakan pengundi mengeluh kerana terpaksa berbaris dan menunggu lama.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengakui terdapat masalah pengundi yang tidak mempunyai saluran mengundi walaupun nama dan tempat mengundi mereka ada di pusat undi berkenaan.

"Saya amat malu dan berdukacita terhadap masalah pengundi yang tidak mempunyai saluran mengundi," katanya ketika ditemui selepas beliau mengundi di Dewan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) di Seksyen 11 Shah Alam.

Wan Ahmad berkata laporan awal yang diterimanya menunjukkan tiga negeri iaitu Selangor, Sabah dan Sarawak menghadapi masalah berkenaan.

Menurutnya, masalah tiada saluran mengundi mungkin disebabkan ketiga-tiga negeri itu merupakan tiga negeri terakhir mengeluarkan senarai daftar pemilih yang menentukan saluran mengundi para pemilih.

Di Tanjong Karang , Selangor, pengundi yang tiba awal terpaksa berbaris lama bagi mengetahui saluran mengundi mereka menyebabkan proses pengundian lambat.

Paling bermasalah

Seorang pengundi, Khafiz Masdar yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Tanjong Karang, kecewa kerana terpaksa menunggu lama hanya untuk mengetahui saluran mengundinya.

Di Ampang , Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ong Tee Keat yang juga calon BN bagi Parlimen Pandan berkata sistem pengurusan SPR di DUN Chempaka dalam kawasan Parlimen itu "sangat mendukacitakan".

Ong, yang melawat tempat-tempat pengundian di Parlimen Pandan berkata beliau mendapati pengurusan SPR di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang, adalah yang paling bermasalah.

"Sistem komputer SPR di sini tidak diurus dengan betul. Ada pengundi yang ditegah masuk kerana nama mereka tidak ada dalam senarai nama SPR di sini.

"Tetapi sebelum itu mereka telah semak nama mereka di laman web SPR," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya. Sehingga kini, kira-kira 30 peratus pengundi telah keluar mengundi di DUN Chempaka.

Di Petaling Jaya, kira-kira 40 pengundi "terumbang-ambing" apabila pusat pengundian mereka gagal disahkan oleh SPR.

Para pengundi itu tiba seawal 7 pagi di Sekolah Kebangsaan Taman Megah setelah memeriksa pusat pengundian melalui laman web, tetapi kecewa apabila diarahkan oleh petugas SPR ke pusat pengundian di SRJC Yuk Chai.

"Kami telah periksa nama kami di Internet. Tapi sekarang bila kami mahu mengundi, tempat kami tidak padan pula dengan senarai SPR," kata salah seorang daripada mereka.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS