Harun Din bantah kehadiran pengundi mati
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Dr Harun Din hari ini mengemukakan bantahan terhadap seorang pengundi yang didakwanya telah menggunakan butiran kad pengenalan orang yang telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, bantahan tersebut ditolak oleh ketua pusat mengundi di Sekolah Menengah Syed Sirajuddin, Jejawi, dekat Kangar.
Harun, calon PAS kerusi Parlimen Arau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang, berkata mengikut senarai daftar PAS, nama dan nombor kad pengenalan pengundi itu milik seorang yang telah meninggal dunia.
Menurut Bernama , beliau mendakwa kad pengenalan pengundi itu didapati tidak kemas dan ada tanda-tanda rosak atau tanda dipinda.
Beliau juga tidak berpuas hati kerana SPR tidak menyediakan borang bantahan menyebabkan pihaknya menggunakan kertas biasa semasa mengemukakan bantahan itu.
"Saya harap dapat kepastian (mengenai status pengundi itu) daripada SPR," katanya.
Dr Harun mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Simpang Empat pada jam 8.10 pagi manakala Datuk Seri Shahidan Kassim mengundi di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang pada 8.30 pagi.
Kawalan polis
Harun dan Shahidan adalah dua tokoh yang bersaing bagi kerusi DUN Tambun Tulang. Harun jua bertanding kerusi Parlimen Arau.
Pesuruhjaya PAS Kedah pula, Azizan Razak pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kota Sarang Semut, pada jam 9.15 pagi. Azizan bertanding bagi kerusi Parlimen Sik dan DUN Sungai Limau.
Di Kuala Terengganu, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundi di Sekolah Kebangsaan Rusila di Marang. Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dan Parlimen Marang, tiba di pusat pengundian itu jam 8 pagi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu Datuk Idris Jusoh pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih jam 9.05 pagi. Idris, yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, bertandin kerusi DUN Jertih.
Sementara itu, Rashdan Majid dan Shahadi Othman melaporkan, proses pengundian di Perlis berjalan lancar di semua kawasan Parlimen dan DUN dengan diawasi oleh pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan anggota polis.
Bagaimanapun, menurut seorang pekerja Barisan Nasional (BN), Izali Wali Zain, kemeriahan pilihanraya umum kali ini pula agak kurang jika dibandingkan dengan tahun 1999.
"Suasana pilihanraya tahun ini agak tenang, berjalan dengan lancar dan tidak agresif seperti yang berlaku pada pilihanraya umum 1999," katanya.
Pesta
Pada malam tadi, suasana agak meriah dengan gelagat pemandu kenderaan yang 'bersukaria' di jalan raya sambil mengibarkan bendera parti masing-masing bermula seawal jam 10 malam dan berlanjutan hingga 4 pagi.
Paling menarik, penunggang motosikal dan kereta dari pelbagai parti boleh bersama-sama dalam satu kumpulan.
Sementara itu di DUN Sanglang dalam parlimen Arau, malaysiakini menemui risalah diedarkan oleh pondok panas BN Kampung Bendang baru yang mendakwa anak Menteri Besar Perlis telah diserang oleh dua lelaki bermotosikal, mengakibatkan matanya cedera terkena serpihan kaca.
Peristiwa itu berlaku Khamis lalu di antara jalan Simpang Empat dan Kangar, berdekatan Utan Aji.
Mengikut seorang penyokong BN di kawasan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Pa'in, dua lelaki tersebut telah melemparkan sebiji batu yang besar ke arah kereta anak menteri besar. Ada bersamanya ialah isterinya yang sedang sarat mengandung.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now