Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini membenarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan untuk merayu berhubung perintah yang mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak sah di sisi undang-undang
Keputusan sebulat suara hari ini akan membenarkan plaintif untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan undang-undang itu tidak mengikut perlembagaan kerana menghalang pelajar dari mengambil bahagian dalam politik.
Panel lima hakim membenarkan soalan yang ditimbulkan oleh pihak plaintif akan diputuskan dalam rayuan mereka.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar ( kiri ), yang mewakili empat bekas pelajar UKM, berhujah bahawa perkara itu adalah akademik kerana mereka telah dibebaskan semasa prosiding tatatertib universiti dan juga telah menamatkan pengajian mereka.
Selain itu, hujah Malik, kerajaan juga bercadang untuk meminda AUKU.
Kerajaan diwakili oleh peguam Amarjeet Singh manakala Datuk Muhammad Shafee Abdullah mewakili UKM.
Pelajar berkenaan - Mohd Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Mohamad Adza dan Wong King Chai - ditangkap oleh polis pada bulan April 2010 dan didakwa terbabit dengan kempen pilihan raya kecil di Hulu Selangor.
Mereka kemudian cuba mendapatkan suatu perisytiharan bahawa AUKU adalah tidak sah, tetapi permohonan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur pada September 2010.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, membatalkan keputusan itu.
