Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Isu Lynas tak jejas nilai hartanah di Kuantan
Diterbitkan:  Mar 26, 2012 5:11 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Nilai hartanah di Kuantan tidak terjejas malahan ia meningkat walaupun banyak publisiti negatif berkaitan isu kilang memproses nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn Bhd, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

   

Katanya nilai hartanah seperti rumah dan pejabat komersial di beberapa lokasi terutamanya yang berdekatan dengan Gebeng seperti di Beserah , Balok dan Gebeng sendiri jelas menunjukkan peningkatan dan tiada laporan mana-mana pihak yang menjual hartanah kerana isu Lynas.

   

"Saya hairan di sebalik isu Lynas ini, nilai hartanah di Gebeng, Balok dan Beserah, terus meningkat, bukannya jatuh dan setakat ini tiada orang yang jual hartanah sebab isu ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan RD Prima Suites di Kuantan hari ini.

   

Beliau berkata sekiranya ada pihak yang mahu menjual mana-mana hartanah di kawasan tersebut, kerajaan negeri Pahang tidak akan teragak-agak untuk membelinya untuk dimajukan dengan palbagai projek rakyat.

   

"Aktiviti pembangunan hartanah di negeri ini khususnya Kuantan masih aktif dan ini menandakan keyakinan tinggi pelabur dan usahawan terhadap sektor hartanah dan iklim ekonomi yang sihat di Pahang," katanya.

Adnan berkata, mengikut laporan Jabatan Penilaian Harta Negeri Pahang, harga kediaman teres kos rendah bertingkat di Jalan Gambang meningkat daripada RM49,000 kepada RM68,000 seunit, bagi kedai tiga tingkat di Jalan Beserah pula ia meningkat daripada RM700,000 kepada RM800,000 seunit.

   

"Angka-angka ini membuktikan bahawa nilai hartanah di Kuantan adalah kekal stabil atau meningkat jadi tidak benar sama sekali dakwaan mengatakan nilainya jatuh ekoran isu tertentu yang dimomokkan hingga dikatakan menghantui penduduk bandar dan daerah ini," katanya.

   

Sementara itu, beliau berkata, projek bangunan RD Prima Suites merupakan usahasama antara Rangkaian Delima Sdn Bhd dan Sunrise Ria Resources Sdn Bhd yang merangkumi empat komponen iaitu servis apartmen, hotel, ruang pejabat dan lot kedai komersial selain turut memuatkan tempat letak kereta bertingkat, kolam renang, rumah kelab dan surau.

   

Menurutnya, projek yang bernilai RM50 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang akan memulakan kerja-kerja pembinaannya pada Jun depan dan dijangka siap hujung 2015.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS