Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Alasan kesilapan manusia tidak boleh diterima'
Diterbitkan:  Mar 27, 2012 8:32 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Tindakan Malaysia - kumpulan terbaru reformasi pilihan raya - hari ini membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berulang kali menggunakan "kesilapan manusia" sebagai alasan untuk menjelaskan kesilapan dalam daftar pemilih.

Menurutnya, bagi dokumen sepenting daftar pemilih yang boleh menentukan keputusan sesuatu pilihan raya umum, maka semua kemasukan (nama pemilih) perlu diperiksa dua kali dan diluluskan oleh pegawai yang lebih kanan.

"Selain itu, sistem komputer yang mengendalikan kemasukan (nama pemilih) sepatutnya dapat mengesan kesilapan mudah seumpama itu," kata pengasas Tindakan Malaysia, Wong Piang Yow (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Jika tidak, tambahnya, program itu perlu dibuang dan syarikat perisian yang membekalkannya perlu disaman kerana kecuaian, jika ia boleh dibuktikan.

Wong mengulas laporan portal berita Free Malaysia Today , yang memetik Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai berkata kesilapan dalam daftar pemilih adalah disebabkan oleh "kesilapan manusia".

Wan Ahmad telah ditanya oleh portal berita tersebut tentang kes-kes di mana tarikh lahir dan nombor baru MyKad pengundi berdaftar tidak sama.

Beliau menjawab bahawa kakitangan sementara yang diambil untuk membantu SPR telah membuat kesilapan semasa mendaftar pengundi baru tersebut.

Katanya, pegawai SPR akan membuat pendaftaran berdasarkan apa yang telah diisytiharkan.

Menurutnya, mereka mempunyai beribu-ribu borang untuk diisi setiap hari dan oleh kerana SPR tidak membuat pendaftaran dalam talian, maka mungkin berlaku kesilapan manusia.

Wan Ahmad (kanan dalam gambar) menggesa semua parti yang mempunyai apa-apa isu dengan daftar pemilih supaya menemui SPR secara terus, daripada mengelirukan orang ramai dengan menimbulkan perkara itu dalam akhbar.

[Baca berita penuh]

ADS