Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS kesal penari tiang hanya didenda RM25
Diterbitkan:  Mar 30, 2012 7:11 PM
Dikemaskini: Mar 31, 2012 3:34 AM

Pemuda PAS terkejut dan kesal dengan keputusan tiga wanita yang bersalah berkelakuan kurang sopan dengan melakukan aksi tarian tiang hanya didenda RM25 sahaja sedangkan imam yang dituduh menghina mahkamah di penjara setahun.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor secara menyindir menyifatkan hukuman itu sebagai "definisi keadilan Islam sebenar" menurut perspektif penguasa hari ini.

"Pemuda PAS merasa terkejut dengan hukuman ini kerana berpendapat kesalahan yang mereka lakukan amat serius dan berat.

"Perbuatan yang mereka lakukan merupakan suatu dosa besar di sisi Islam kerana membuka aurat dan mendorong perbuatan zina kepada pengunjung yang hadir," katanya.

NONE Media melaporkan Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM25 kepada Faiqah Azizan, 24, Nurul Huda Abdul Rahman, 23, dan Nooranishah Mohamad Isa, 19, selepas mereka mengaku bersalah kerana berkelakuan demikian di pusat hiburan di Nilai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang mengenakan hukuman denda tidak lebih RM25 atau penjara maksimum 14 hari jika sabit kesalahan.

Dakwa Riduan, hukuman tersebut "hanya menjadi bahan ketawa dan perlecehan masyarakat" terutama mereka yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Sehubungan itu, dakwanya, kes tersebut membuktikan kerajaan BN tidak mampu membendung perbuatan maksiat di kalangan masyarakat, malah didakwa memandang ringan perbuatan tersebut.

"Apalah pembelaan yang boleh diharapkan dari sebuah kerajaan yang kononnya memperjuangkan Islam di negara ini jika agama Islam terus diperlekehkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS