Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Baharudin mohon gantung prosiding inkues
Diterbitkan:  Apr 6, 2012 8:07 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, ditangguhkan dan akan disebut semula Selasa depan.

    

Koroner Zulkpli Abdullah membuat keputusan itu selepas peguam Ahmad Jufliz Faiza, yang mewakili isteri Baharudin, Rosni Malan, memaklumkan beliau telah menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding inkues tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung semakan kehakiman terhadap tindakan Mahkamah Koroner tidak membenarkannya mendapatkan salinan percakapan saksi.

    

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Ahmad Jufliz berkata dalam permohonan itu, Rosni menamakan Koroner sebagai responden pertama dan Timbalan Pendakwa Raya sebagai responden kedua.

Antara lain, Rosni meminta Koroner mengarahkan saksi dan dokumen atau keterangan di bawah milikan dan/atau kawalan pihak hospital, pihak berkuasa dan/atau mana badan kerajaan yang berkaitan dengan prosiding inkues, dikemukakan kepadanya atau peguam apabila mereka membuat permohonan semasa prosiding itu.

    

Rosni turut memohon perintah lain, arahan dan/atau relif yang dianggap sesuai, adil dan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya, Ahmad Jufliz berkata semasa prosiding inkues pada 26 Mac lepas, beliau telah memohon kepada responden pertama agar mengarahkan responden kedua memberikan semua kenyataan saksi respondan kedua yang telah memberi keterangan dan juga saksi yang bakal berbuat demikian kepadanya.

    

Bagaimanapun, beliau berkata permohonan itu ditolak responden pertama.

Ahmad Jufliz mendakwa keterangan saksi itu penting bagi membantu mahkamah dalam memastikan keterangan saksi adalah benar, konsisten dan tidak bercanggah demi kepentingan keadilan semua pihak.

Katanya, beliau dimaklumkan responden pertama bahawa Mahkamah Koroner  mempunyai semua kenyataan percakapan saksi inkues yang telah memberi keterangan sebelum ini.

    

Sehubungan itu, Ahmad Jufliz mendakwa adalah tidak adil bagi kedua-dua responden mempunyai maklumat tersebut sedangkan ia tidak dibekalkan kepada peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS