Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mapoba) menggesa pihak berkuasa meningkatkan pelaksanaan undang-undang bagi membendung gejala cetak rompak untuk melindungi industri penerbitan tempatan.
Presidennya Datuk Hussamuddin Yaacub berkata golongan penerbit buku tempatan perlu dilindungi bagi memastikan industri itu mampu berkembang.
"Jika kita lihat sekarang, penerbit bahan bacaan yang tiada permit boleh pasarkan buku mereka tetapi penerbit yang jujur dirompak hasil karya mereka sedangkan mereka ini mempunyai permit sah untuk menerbitkan buku," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung Mapoba ke-43 di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata Mapoba merancang untuk bekerjasama dengan badan-badan hak cipta antarabangsa dalam usaha memperkenalkan sistem royalti khas untuk penerbit buku tempatan.
Ia termasuk mengadakan bayaran tertentu kepada mereka jika pihak seperti universiti atau organisasi lain ingin membuat salinan buku yang dipasarkan.
Dalam pada itu, Hussamuddin berkata Mapoba berharap penerbitan bahan bacaan tempatan dikecualikan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Jika GST tidak dikenakan terhadap industri itu, bajet penerbitan hanya fokus kepada (penghasilan) buku dan secara tidak langsung, harga bahan bacaan tempatan menjadi lebih murah," katanya.
GST sebelum ini dijadual dilaksana oleh kerajaan tahun lepas bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, namun ditangguhkan.
- Bernama
