Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kementerian pengguna menghapuskan subsidi tepung gandum kegunaan am dalam paket 25 kilogram.   

 

Seorang pegawai PPIM Mohd Mustaffa Hamzah berkata subsidi berkenaan tidak memberi manfaat kepada pengguna tetapi hanya memberi keuntungan yang melampau kepada pengusaha dan pengimpot yang memonopoli industri tepung.

Subsidi itu juga tidak relevan dan membebankan kerajaan yang perlu menanggung subsidi berjumlah puluhan juta ringgit setiap tahun, jelasnya.

Sedangkan pengimport dan pengusaha tepung berkenaan tetap menjual bahan kawalan itu mengikut harga pasaran, katanya. 

 

"Kos pemberian subsidi kepada poengimpot merugikan kerajaan. Sebaliknya ia boleh dimanfaatkan dengan pemberian subsidi kepada sektor lain yang lebih menguntungkan pengguna," katanya kepada pemberita hari ini.

Jual ikut harga pasaran

Kerajaan memberi subsidi sebanyak RM0.60 untuk setiap kilogram tepung kegunaan am di pasaran tetapi paket 25 kilogram diberi subsidi sebanyak RM33.75.

"Mengapa subsidi tepung bernilai ratusan juta ringgit diberikan kepada segelintir pengimpot dan pengusaha sedangkan terdapat sebahagian pengimpot dan pengusaha yang menjual tepung pada harga yang sama tanpa mendapat subsidi yang kerajaan berikan," katanya.  

Tambahnya, subsidi berkenaan wajar dibatalkan kerana didakwa tidak memberi impak dan pulangan sewajarnya kepada pengguna dan juga kerajaan.

 

Satu memorandum berhubung tuntutan itu diserahkan kepada menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan di Bangsar hari ini.

Memorandum berkenaan disokong 19 NGO antaranya Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam Malaysia (PEMBELA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Ikatan Muslim Malaysia (ISMA).

Kepentingan IKS

Ismail Sabri ketika bercakap kepada pemberita selepas itu berkata tuntutan berkenaan masih perlu dikaji kerana subsidi untuk paket 25 kilogram itu melibatkan pengusaha industri kecil dan sederhana.

"Kita perlu pertimbangkan kesannya pada IKS yang guna tepung ini untuk buat mee kuning dan kuih mereka. Tapi kita akan ambil perhatian dan akan bangkit kepada kabinet," katanya.

Katanya lagi, pengurangan subsidi tersebut, walau dengan satu sen, tetap akan memberi impak kepada peniaga terutama golongan IKS.

 

"Kita sedar yang tepung 25 kilogram tidak diguna oleh individu dan banyak digunakan oleh syarikat. Dari segi impak kepada pengguna, untuk tepung 25 kilogram ini memang tidak ada. Cuma impak kepada subsidi," katanya.

ADS