Malaysiakini BERITA

Selepas diserang, Dataran jadi 'tapak pesta '

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

GALERI FOTO

Kawasan tapak khemah yang diduduki kumpulan mahasiswa dan aktivis di Dataran Merdeka bertukar menjadi tapak pesta dengan kegiatan lebih 500 pelajar dan aktivis.

NONE Jumlah berkenaan meningkat mendadak sejak malam semalam apabila kumpulan pelajar tersebut diserang oleh kira-kira 50 orang individu tidak dikenali.

Walau 15 buah khemah mereka musnah dalam kejadian itu, sebanyak 12 lagi khemah baru didirikan hasil sumbangan orang ramai, selain 30 khemah lagi yang masih di dalam simpanan mereka.

Selain khemah, pelajar berkenaan juga menerima sumbangan makanan dan minuman termasuk nasi lemak, mee, dan biskut oleh orang ramai yang hadir.

NONE Malah golongan peniaga juga tidak melepaskan peluang untuk berniaga dengan menjual topi dan kemeja-T BERSIH 3.0, sempena perhimpunan yang akan dijalankan di lokasi tersebut pada 28 April.

Tinjauan Malaysiakini juga mendapati kawasan itu dikawal hampir 45 orang daripada Unit Amal PAS yang akan melakukan kawalan sehingga jam 6 pagi.

Golongan pelajar berkenaan antara lainnya menyertai kegiatan Sidang Siswa yang dikendalikan aktivis dan pengarah filem Fahmi Reza dan mengikuti ucapan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE Turut hadir di lokasi berkenaan ialah timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan ketua pemuda PAS, Nasaruddin Hasan.

Mahasiswa dan aktivis telah berkampung di Dataran Merdeka selama tujuh hari bermula Sabtu lalu untuk menuntut pendidikan tinggi percuma dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.