Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri akui k'jaan 'keterlaluan' tangani BERSIH
Diterbitkan:  Apr 22, 2012 2:47 PM
Dikemaskini: 4:24 PM

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui bahawa kerajaan bertindak keterlaluan ke atas perhimpunan BERSIH 2.0 pada dengan mengharamkan penganjur dan menahan individu yang memakai kemeja-T perhimpunan 9 Julai itu.    

Bagaimanapun, beliau membandingkan tindakan tersebut dengan langkah yang diambil kerajaan United Kingdom dalam menangani rusuhan yang berlaku di negara tersebut.

"Banyak bantahan daripada orang ramai (di UK) kerana kurang tindak balas daripada agensi penguatkuasa," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar Sunday Star hari ini.

Katanya dakwaan bahawa kerajaan bertindak keterlaluan itu mungkin berbeza sekiranya sesuatu yang buruk berlaku ketika perhimpunan BERSIH 2.0.

Bagaimanapun kerajaan mengambil teladan daripada peristiwa itu dan memperkenal undang-undang baru untuk perhimpunan BERSIH 3.0.

Katanya akta itu memberi keyakinan kepadanya untuk menjalankan tugas dengan bijaksana dan bertanggungjawab mengikut undang-undang.

Pentadbiran Najib melancarkan operasi besar-besaran untuk mematahkan usaha penganjur mengadakan perhimpunan terseut, termasuk segala aktiviti berkaitan BERSIH.

Tindakan itu menyebabkan ramai ditahan dan timbul dakwaan bahawa pergerakan BERSIH disusupi oleh ejen komunis.

Hishammuddin sendiri mengumumkan BERSIH – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil – sebagai pertubuhan haram dan bahan publisiti pertubuhan itu juga dirampas.

Beliau juga memberi jaminan bahawa perhimpunan 28 April tidak akan dianggap sebagai satu ancaman keselamatan, selagi ia dijalankan secara aman.

Jika ada penambahan kehadiran polis untuk hari tersebut, itupun hanya bagi membantu golongan yang ingin menghadiri perhimpunan, katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin tetap menggesa gabungan BERSIH supaya menggunakan lokasi lain memandangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak permohonan mereka untuk menggunakan Dataran Merdeka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS