Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain Scorpene, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pasti akan menambah aset kapal selam pada masa depan demi kesiapsiagaan operasi mempertahankan perairan negara, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

    

Katanya hasrat itu, bagaimanapun, tidak dapat dilaksanakan pada masa terdekat berikutan kekangan kewangan negara untuk peruntukan pertahanan dan kemahiran dalam operasi kapal selam.

    

Malaysia menempah dua kapal selam jenis Scorpene dengan kos pembelian RM3.4 bilion pada 2002 yang dibina secara bersama oleh DCNS dari Perancis dan Navantia, syarikat pembuat kapal selam dari Sepanyol.

    

Abdul Aziz berkata cadangan untuk menambah aset kapal selam daripada dua yang sedia ada sekarang sememangnya dalam perancangan tetapi TLDM memerlukan masa untuk menimba pengalaman serta kemahiran dalam operasi kapal selam.

    

"Ini bagi memastikan kapal selam TLDM yang sedia ada dapat dioperasikan dengan selamat dan berkesan," katanya kepada Bernama.

    

Abdul Aziz berkata setakat ini beliau amat berpuas hati dengan prestasi kedua-dua aset itu setelah tiga tahun beroperasi, terutama operasi mendaulatkan serta mempertahankan perairan negara daripada diceroboh pihak musuh.

"Saya turut berasa gembira kerana telah menerima surat pujian daripada tetamu kenamaan yang pernah mengikuti operasi kapal selam ini, antaranya Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng," katanya.

    

Mengenai sambutan Hari TLDM ke-78 yang akan disambut esok, Abdul Aziz berkata TLDM memilih tema 'Warga Berinovasi Menjana Tranformasi' sebagai satu manifestasi TLDM ke arah visi menjadi tentera laut bertaraf dunia melalui penggemblengan budaya inovasi.

    

Katanya cabaran yang dihadapi TLDM pada masa kini dibahagikan kepada dua iaitu perkara yang melibatkan perisian dan perkakasan.

    

"Cabaran pertama ialah mengekalkan anggota yang terampil di dalam perkhidmatan ekoran saingan dan tawaran lebih menarik serta lumayan di dunia luar yang sentiasa menawarkan tempat kepada mereka," katanya.

    

Katanya cabaran kedua adalah bagi mengekalkan tahap kesiagaan aset-aset TLDM terutama apabila melibatkan aset-aset yang sudah meningkat usianya berikutan masalah peralatan semakin usang dan perkembangan teknologi semasa.

Dalam usaha meningkatkan keselamatan perairan negara terutamanya daripada ancaman lanun di Selat Melaka, Abdul Aziz berkata TLDM melipatgandakan kekerapan rondaan di kawasan panas yang dikenal pasti selain operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa maritim negara-negara jiran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS