Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA sokong tubuh Majlis Peguam baru
Diterbitkan:  May 13, 2012 8:10 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menyokong cadangan mewujudkan Majlis Peguam baru di negara ini memandangkan Majlis Peguam sedia ada dilihat "gagal memainkan peranannya secara profesional."

Beliau berkata majlis peguam sedia ada bukan sahaja tidak beretika dan berat sebelah malah tidak langsung menunjukkan sikap profesionalismenya ketika mendepani isu-isu semasa negara.

"Pandangan badan ini sentiasa memihak kepada (pembangkang). Ini tidak bererti saya meminta mereka menyokong kerajaan. Tetapi mereka kena bersifat profesional. Kalau dia sokong kerajaan semata-mata pun saya tidak setuju. Majlis Peguam perlu dilihat lebih profesional dan bebas," katanya.

Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perkasa Pribumi Sabah, Gabungan Pantai Timur Sabah yang turut dihadiri Naib Presiden Perkasa yang juga Yang Dipertua Perkasa Sabah Datuk Dr Mohd Jeffry Osman di Tawau hari ini.

Menurut Ibrahim sikap tidak profesional Majlis Peguam berkenaan sudah lama berlaku dan terbaru Majlis Peguam berkenaan begitu terburu-buru mengeluarkan laporan berhubung perhimpunan Bersih 3.0 tanpa membuat siasatan rapi mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

Sementara itu, PERKASA Sabah dalam perhimpunan hari ini meluluskan tujuh resolusi berkaitan demonstrasi jalanan Bersih 3.0 untuk diserahkan kepada kerajaan bagi tindakan segera.

Antara resolusi ialah meminta kerajaan segera menahan dan mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah memberi arahan kepada peserta Bersih 3.0 merempuh penghadang dan anggota polis sedangkan mahkamah sudah memerintahkan peserta tidak boleh memasuki Dataran Merdeka.

Resolusi berkenaan juga meminta kerajaan supaya segera menahan dan mendakwa Datuk Ambiga yang merupakan penganjur utama Bersih 3.0 kerana telah melanggar syarat-syarat berhimpunan iaitu gagal mengawal peserta Bersih 3.0 sehingga sebahagian mereka dikatakan melakukan keganasan terhadap anggota polis dan semasa perhimpunan.

- Bernama

ADS