Aktivis pelajar, Khalid Ismath berkata beliau tidak tahu menahu mengenai kejadian anggota polis ditendang ketika perhimpunan BERSIH 3.0, 28 April lalu.

Malah, beliau juga tidak berada di tempat kejadian pada waktu berkenaan seperti yang didakwa akhbar, katanya ketika menceritakan semula pengalamannya memimpin kumpulan siswa dalam perhimpunan tersebut.

NONE Khalid berkata, beliau sangat kesal dengan tindakan media yang menyiarkan tuduhan tersebut tanpa usul periksa.

"Mengenai kes pijak polis tu memang saya tak tahu sehinggalah saya balik rumah.

"Saya kesal dengan media arus perdana dan polis yang tak boleh beza yang mana betul dan yang mana salah sampai saya menjadi mangsa. Saya tak boleh ke kuliah, dapat SMS yang mengutuk, memaki saya.

"Perkara ini mencemarkan maruah dan reputasi saya sebagai mahasiswa dan keluarga saya," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

Dakwaan tersebut, berserta gambar antara lainnya disiarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!

Khalid menafikan bahawa beliau merupakan individu dalam gambar yang disiarkan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar terbabit.

Jelasnya, pada waktu insiden menendang anggota polis itu didakwa berlaku, beliau berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengunjungi ibunya.

Ibunya, Faridah Abdull dimasukkan ke wad di hospital itu setelah mengalami cedera akibat dipijak di satu lokasi berlainan di perhimpunan tersebut.

"Tembakan (berlaku) kira-kira pukul 2 petang, saya sampai ke hospital sebelum Asar.

"Saya memang berada di hospital sampai dalam pukul 12 tengah malam. Sampai mak saya dimasukkan ke wad," katanya.

Khalid berkata beliau bersama mahasiswa tersebut pada awalnya berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Jalan Tun Perak pada pukul 12 tengah hari.

Beliau bersama pelajar bawah gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia itu kemudiannya duduk beramai-ramai di atas jalan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau bersama rakan pelajar lain kemudiannya lari dan memasuki satu bangunan apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

"Kami rasa kami tidak mengganas malah kami arahkan semua pelajar lari dan masuk dalam bangunan sehinggalah keadaan reda," kata siswa jurusan undang-undang itu lagi.

Siswa Universiti Teknologi Mara itu berkata, beliau kemudiannya menerima panggilan daripada kakaknya yang mengatakan bahawa ibu beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

Sejurus selepas itu, Khalid berkata, beliau terus berlari untuk mencari pengangkutan awam untuk ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

"Saya tak datang dengan keluarga ke perhimpunan itu. Saya naik kereta lain. Mereka kereta lain. Ketika saya melarikan diri itu saya mendapat panggilan dari kakak yang kata mak dibawa ke hospital.

"Saya dapat agak sesuatu buruk berlaku. Saya tak fikir lain terus ke hospital bersama kawan-kawan dari Suaram cari pengangkutan awam. Dari Jalan Tunku Abdul Rahman tu saya berlari sampai ke LRT Dang Wangi dan terus ke hospital," katanya.

Khalid berkata, beliau kemudiannya menunggu ibunya di HKL sehingga lewat malam.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini