BERITA

Syarikat minyak AS labur RM4.6 bilion di Malaysia

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mei 2012, 10:47 pagi

ConocoPhilips, salah satu daripada syarikat pengeluar minyak terbesar di dunia dari Amerika Syarikat, melabur US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Malaysia setakat ini untuk pengeluaran minyak di luar pesisir Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pelaburan oleh syarikat itu bermatlamat untuk mencapai tahap pengeluaran mencecah sehingga 300,000 tong sehari pada tahun 2016.

"(Pelaburan) Conoco (terletak) di tiga kawasan luar pesisir Sabah, yang akan membuat pengeluaran pertama pada akhir 2013, dan kemuncaknya pada 2016, dengan pengeluaran dijangkakan memcecah 300,000 tong sehari, kira-kira separuh daripada pengeluaran semasa," kata Najib kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat korporat terkemuka Amerika di Havard Club of New York di New York.

Pada pertemuan rundingan meja bulat perniagaan bersama pemimpin syarikat Fortune 500 itu, ConocoPhilips diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif Perdagangan, Pembangunan Perniagaan & Perancangan Korporat, Don Wallette.

Perdana menteri berkata syarikat itu dijangka melabur sebanyak US$5 bilion (RM15 bilion) lagi di Malaysia.

"Ini merupakan satu perkembangan yang akan membantu kita meningkatkan daya pengeluaran minyak negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Najib berkata syarikat penternakan udang karang Amerika, Darden, juga akan memulakan pelaburan yang besar untuk membiak udang karang di perairan Sabah untuk dieskport ke Amerika Syarikat.

Darden ialah pengendali rantaian restoran makanan laut terkemuka Amerika, Red Lobster dan The Capital Grille.

"Mereka telah mengenal pasti Sabah sebagai satu kawasan yang amat sesuai untuk pembiakan dan penternakan udang karang secara besar-besaran berdasarkan kaedah penternakan kontrak.

"Jadi, rakyat tempatan boleh mengambil bahagian dan mereka akan membeli segala yang dapat dihasilkan petani di kawasan tersebut," kata beliau.

Ditanya mengenai lokasi projek itu, Najib berkata ia akan dijalankan di Semporna dan Lahad Datu di Sabah.

Dalam pertemuan itu, Darden diwakili oleh Presiden Darden Aqua Farm dan Naib Presiden Kanan Rantaian Bekalan Darden, Bill Herzig.

Najib berkata pertemuan itu turut dihadiri oleh syarikat Amerika yang telah lama melabur di Malaysia seperti Motorola yang telah memulakan pelaburan mereka kira-kira 40 tahun lepas.

Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan oleh syarikat itu bahawa mereka masih mempunyai keyakinan untuk meneruskan pelaburan di Malaysia berdasarkan kerjasama dan insentif yang diberikan oleh kerajaan Malaysia selama ini.

"Yang terbaharu, mereka telah mengesahkan tambahan sebanyak 250 peluang pekerjaan akan diwujudkan (di Malaysia) dan bukan 100 (seperti yang dijanjikan mereka tahun lepas). Tahun lepas mereka janji kepada saya 100 tapi hari ini bukan 100 tapi 250 (peluang pekerjaan)," katanya.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, syarikat itu juga akan mendirikan sebuah bangunan tujuh tingkat di Malaysia.

Najib berkata terdapat juga beberapa syarikat Amerika lain yang menunjukkan minat untuk menambah pelaburan mereka di Malaysia, namun belum mengesahkan keputusan mereka.

Ini termasuk Eastman Chemical yang mempunyai pelaburan di Kuantan, Pahang, bagi pengeluaran produk kimia, polimer.

"Mereka dijangka menambah lagi jumlah pelaburan sebanyak 350 juta dollar Amerika...ini belum lagi disahkan tetapi mereka telah membayangkan kemungkinan mereka akan buat keputusan tersebut," kata Najib.

Sebuah syarikat lain yang berminat untuk memulakan pelaburan di Malaysia ialah Global Consumer Insurance AIG-Chartis.

Ditanya mengenai maklum balas yang diberikan oleh tokoh-tokoh korporat dan perniagaan berkenaan, Najib berkata dalam pertemuan beramai-ramai itu, mereka pada umumnya menyuarakan rasa puas hati dan mempunyai keyakinan terhadap Malaysia terutama dari segi dasar-dasar kerajaan yang mesra pelabur dengan insentif yang telah diberikan.

"Dan juga perlindungan bagi harta intelek dan keputusan-keputusan yang kita telah buat untuk mewujudkan satu persekitaran yang positif kepada pihak pelabur," kata beliau.

Antara syarikat ternama Amerika lain yang hadir ialah Guardian Industries, Symmetry Medical, Boeing, Citi Group, Ace Group dan Crest Group.

Selain pertemuan secara beramai-ramai, Najib turut dikunjungi tokoh-tokoh perniagaan dan ahli politik Amerika secara berasingan. Antaranya Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Thermal Energy Corporation, Jeremy P Feakins.

Seorang lagi ialah Naib Presiden Eksekutif Motorola Solutions, Gene Delaney.

Mengulas pertemuan dengan Feakins, Najib berkata beliau meluluskan permohonan syarikat Ocean Thermal Energy Corporation untuk menjalankan kajian untuk menjana tenaga elektrik dari kawasan laut dalam di Sabah.

Menurutnya ada kajian yang menunjukkan kawasan di lautan Sabah berpotensi menjana kuasa elektrik secara besar-besaran.

Najib turut dikunjungi bekas Senator dari Missouri, Christopher Samuel "Kit" Bond, yang juga bekas Gabenor Missouri selama dua penggal dari 1973 hingga 1977 dan 1981 hingga 1985.

Mengenai pertemuan itu, Najib berkata Senator Kit Bond ialah kawan lama Malaysia, dan beliau bersedia membawa lebih ramai pelabur Amerika ke Malaysia.

Najib tiba di New York pada Rabu untuk mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS) di sini.

Beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan berlepas ke Washington DC pada Jumaat.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.