BERITA

Bekas IGP: Pakatan mahu 'pertumpahan darah' pada 28 April

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Mei 2012, 3:48 petang

Bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor mendakwa Pakatan Rakyat akan menggunakan "pertumpahan darah" semasa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu kerana tidak berkeyakinan akan menawan Putrajaya.

Dalam wawancara dengan akhbar Berita Minggu hari ini, Abdul Rahim berkata panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0 perlu meneliti perkara itu.

"Saya ada terima maklumat berbaur hasutan kononnya pembangkang tidak yakin menawan Putrajaya dan memilih pendekatan pertumpahan darah.

"Kenyataan seperti itu harus dipantau, dicegah segera. Jika betul ada ucapan seperti itu, panel perlu kaji segenap aspek itu," katanya.

Tambahnya, panel berkenaan juga perlu menyiasat gabungan NGO dalam BERSIH yang kini berubah menjadi gerakan massa – yang berniat membangkit kemarahan rakyat dan mengguling kerajaan.

"Kita lihat aspek perancangannya yang rapi, sulit dan pembabitan beberapa individu di sebaliknya yang mempunyai rekod tertentu.

"Gerakan pada 28 April adalah ala-Marxist," katanya lagi yang turut mendakwa beberapa personaliti lain yang terlibat dalam BERSIH mempunyai matlamat politik tertentu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.