Kadar keciciran pelajar Orang Asli di negara ini menurun kepada 26.16 peratus tahun ini berbanding 29 peratus pada tahun lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, fokus utama kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) ialah menurunkan kadar keciciran terutamanya dari sekolah rendah ke sekolah menengah dengan menyasarkan sehingga 15 peratus pada 2015.
"Bagaimanapun, sokongan padu dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru amat diperlukan bagi mencapai hasrat tersebut," kata beliau.
Perkembangan ini menunjukkan kerajaan memandang serius pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman terutamanya pelajar Orang Asli, katanya semasa merasmikan Pusat Intelek Pelajar Orang asli (PIPOA) Rompin di Rompin, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya Datuk Joseph Entulu Belaun ketika merasmikan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) Rompin di sini Selasa.
- Bernama
