Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
KJ: Danaharta tak alami kerugian kes Tajudin Ramli

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata syarikat Pengurusan Danaharta Nasional Bhd tidak mengalami kerugian dalam penyelesaian luar mahkamah melibatkan hutang RM589 juta yang ditanggung oleh bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli.

"Mengikut sumber, saya dapati bahawa Danaharta tidak mengalami apa-apa kerugian dalam kes Tajudin Ramli.

"Kes ini kita tak tahu kerana penyelesaiannya di luar mahkamah, bukan dalam mahkamah.

"Saya yakin Danaharta tidak mengalami kerugian dalam kes Tajuddin Ramli," katanya ketika ditanya Dr Maszlee Malik semasa program debat bersama pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli lewat malam tadi.

Bercakap dalam program debat bertajuk Pemansuhan PTPTN Hala Tuju Pendidikan Tinggi itu, Khairy berkata Tajudin mungkin membayar lebih daripada jumlah berkenaan dalam penyelesaian luar mahkamah itu.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah sebanyak RM589 juta kepada Danaharta, jumlah wang yang beliau berhutang ketika pembelian kontroversi saham MAS pada tahun 1994, yang membuka jalan bagi hartawan untuk memiliki syarikat penerbangan nasional itu.

Pada masa yang sama, mahkamah juga membatalkan tuntutan balas RM13 bilion yang difailkan oleh Tajudin terhadap GLC berkenaan.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, Tajudin tidak perlu membayar RM589 juta wang yang dihutangnya daripada Danaharta ekoran penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bulan lalu.

Tajudin bersetuju untuk menarik balik rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas saman melibtkan ke atas piha berkenaan, termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB Group.

Selain itu, menjawab persoalan mengenai isu National Feedlot Corporation (NFC), Khairy dengan tegas berkata kerajaan juga serius dalam usaha untuk mendapatkan semula pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kepada syarikat ternakan lembu itu.

Perkara itu dapat dilihat dalam tindakan kerajaan mendakwa pengerusi syarikat tersebut, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail di mahkamah.

"Pinjaman NFC tetap perlu dibayar semula malah kita anggap ini isu yang serius. Kita tak boleh cakap secara terperinci kerana ia dah jadi isu mahkamah. Secara prinsipnya, isu ini isu hitang dan mesti dibayar semula," katanya.