Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Debat di antara pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli dan juga ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada malam tadi jelas berkisar mengenai rancangan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan hutang melalui Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun tiada jawapan konklusif yang dapat disimpulkan daripada hujah berhubung isu yang diperdebatkan – sama ada negara benar-benar akan muflis sekiranya rancangan tersebut dijalankan.

Rafizi ketika membuka gelanggang berkata, rancangan untuk memberi biasiswa sara hidup RM5,000 kepada setiap pelajar institusi pengajian tinggi awam berjumlah 450,000 orang hanya akan menelan kos RM2.32 bilion setahun.

Dengan menghapuskan RM24 bilion hutang melalui PTPTN pula, kerajaan hanya perlu membayar RM2 bilion untuk tempoh 15 tahun, katanya dalam program debat anjuran akhbar Sinar Harian itu.

Khairy semasa gilirannya selepas itu tangkas memberi gambaran bahawa negara akan mengalami kerugian dan muflis seperti negara Greece sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan dan melaksana rancangan untuk memberi pendidikan tinggi percuma seperti itu.

Katanya, langkah untuk menghapuskan hutang pelajar daripada PTPTN itu mustahil untuk dilaksanakan dan akan menelan kos RM30 bilion, bukannya RM24 bilion seperti diuar-uarkan Rafizi.

 

Khairy turut merangkum kos yang perlu ditanggung sekiranya kesemua tawaran Pakatan dalam dokumen Buku Jingga dilaksanakan.

Jelasnya, subsidi yuran kepada 1.4 juta pelajar di institut pendidikan tinggi swasta, seperti dirancang Pakatan Rakyat akan menela kos sebanyak RM60 bilion.

"Nak sara hidup pada rakyat, saya kira-kira dalam RM25 bilion. Kalau nak ikutkan kena buat pinjaman – bon kerajaan – dengan bunga 3.7 peratus, untuk 10 tahun.

"Tiap-tiap tahun perlu bayar RM6 bilion. Jumlah keseluruhan yang dicadangkan Pakatan-PKR ialah sebanyak RM185 bilion. (Jumlah itu) bahagi 10, jumlahnya ialah RM18 bilion setiap tahun," katanya.

Kataya, tawaran itu mustahil untuk dilaksanakan, termasuk rancangan untuk membina 10 buah universiti baru yang akan menelan belanja sehingga RM2 bilion bagi setiap satu universiti dan menjadikan jumlah keseluruhan RM20 bilion.

Katanya, kos pengurusan untuk sesebuah universiti, seperti Universiti Sains Malaysia (USM) akan menelan belanja sehingga RM31 bilion.

Kenyataan tersebut disambut oleh Rafizi yang berkata, anggaran RM2 bilion untuk membina setiap universiti hanyalah "anggaran oleh Umno."

Katanya, kos untuk membina universiti antarabangsa di Malaysia seperti kampus Universiti Monash juga hanya menelan kos RM200 juta.

"(Timbalan menteri pengajian tinggi) Datuk Saifuddin (Abdullah) ada di depan ini boleh sahkan bahawa Universiti Monash buka kampus pada tahun 2007, dengan fakulti yang mencukupi untuk kapasiti 5,000 orang menelan belanja RM200 juta," katanya.

Saifuddin ketika ditanya dalam sidang media selepas itu bagaimanapun enggan menyebelahi mana-mana pihak.

Katanya, isu tersebut buka soal ketepatan data – jumlah kos unuk membina sesebuah kampus baru – dan beliau juga tidak mengetahui sumber data yang dikemukakan kedua-dua pihak tersebut.

Beliau juga gembira kerana isu tersebut diperdebatkan dan bukan hanya komunikasi sehala seperti ceramah.

ADS