Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata gaya hidup gay dan lesbian yang disokong penulis kontroversi Irshad Manji merupakan perkara keji yang dilarang dalam al-Quran dan perlu dijauhi.

Mengulas pandangan Irshad bahawa golongan Tuhan menciptakan semua manusia sama , Sheikh Abdul Halim berkata manusia bagaimanapun harus memilih perbuatan dan gaya hidup mereka sendiri.

NONE "Memang Tuhan menciptakan manusia tetapi ada juga perbuatan manusia yang dilarang-Nya.

"Contohnya Tuhan menciptakan pencuri dan pembunuh tetapi perbuatan mencuri itu dan membunuh itu dilarang. Babi pun Tuhan cipta (walaupun orang Islam dilarang memakannya).

"Jadi kita kena pilih," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini .

Irshad (foto) dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini mendakwa Islam tidak mendiskriminasi golongan gay dan lesbian.

Penulis itu juga mendakwa, konsep yang menyatakan bahawa Islam menolak dan membenci golongan itu sama sekali tidak selari dengan konsep Allah sebagai Tuhan yang Maha Penyayang.

Mengulas lanjut pandangan Irshad bahawa tradisi ijtihad "menggalakkan pemikiran bebas dan merdeka" dalam isu gaya hidup golongan gay dan lesbian, Sheikh Abdul Halim berkata Irshad tiada pemahaman menyeluruh tentang Al-Quran.

Katanya, ijtihad tidak dilakukan sesuka hati oleh sesiapa sahaja tanpa disiplin ilmu yang mencukupi.

"Setakat tahu tiga ayat Al-Quran takkan dah nak berijtihad," kata mantan mufti Terengganu itu lagi.

irshad manji book launch 2 Pandangan Irshad yang menolak hadis dan hanya menerima Al-Quran sahaja sebagai sumber rujukan Islam tidak selari dengan pandangan sebahagian besar umat Islam di negara ini, katanya.

"Al-Quran lengkap tetapi ada sesetengah ayat yang ringkas. Jadi yang huraikan adalah Rasulullah melalui SAW sama ada melalui perkataan atau perbuatan (sunnah).

Menurutnya lagi, setiap individu boleh mengeluarkan pendapat tetapi sama ada pendapat itu benar atau tidak perlu diberikan pertimbangan yang secukupnya.

"Orang gila pun ada pendapat dan ada keluarkan pandangan," katanya lagi ketika diminta mengulas mengenai pandangan Irshad bahawa ijtihad "menggalakkan pemikiran bebas dan merdeka" dalam isu gaya hidup golongan gay dan lesbian.

Irshad yang mengkaji Al-Quran secara bebas tanpa "prejudis guru agama madrasah" membawa gagasan tersebut dalam buku terbarunya, Allah, Kebebasan dan Cinta yang kini mula dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia.

NONE Sheikh Abdul Halim menegaskan, ruang untuk berijtihad masih terbuka dan tidak pernah tertutup seperti didakwa Irshad.

Namun, pendekatan terbaik untuk menangani bentuk pemikiran seperti yang digagaskan Irshad, Abdul Halim berpendapat bahawa perkara tersebut "tidak perlu dilayan."

"Yang (menjadi) masalah apabila kita layan. Tak perlu debat sebab benda yang dia bawa (menyokong homoseksualiti) bertentangan dengan teks Al-Quran.

"Melanggar teks Quran itu kesalahan yang besar dan jika kita ada kuasa, ia boleh dibunuh," katanya.

Berbeza dengan Abdul Halim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Amidi Abdul Manan pula berpandangan bahawa perdebatan boleh dilangsungkan dengan individu yang berfahaman seperti Irshad.

Namun, ia perlu dibuat dengan kefahaman untuk "membetulkan" dan bukan untuk memupuk kefahaman tentang pandangan Irshad.

"Ia juga wajar dilakukan di tempat tertutup dan terhad kepada hadirin tertentu kerana kita khuatir perbincangan debat itu akan membawa kepada rosak kefahaman masyarakat umum tentang agama," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS