mk-logo
Berita
Lumba 'drag' di litar elak kemalangan, kata menteri

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan meminta Kabinet mempercepatkan kelulusan pembinaan litar bagi perlumbaan 'drag' bagi mengelak kejadian tidak diingini sekiranya ia dianjurkan di jalan raya.

Beliau berkata peruntukan itu ialah bagi membina litar lurus sepanjang kira-kira 800 meter dengan kemudahan tempat duduk untuk penonton memandangkan sukan permotoran tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

"Kita pernah memohon tetapi belum dapat kelulusan. Jadi saya akan maklumkan kepada Kabinet supaya disegerakan kelulusan peruntukan yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kemalangan ketika perlumbaan 'drag' yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 di Presint 19, malam tadi.

Dalam kemalangan itu, 17 penonton cedera termasuk empat parah apabila sebuah kereta yang terlibat dalam perlumbaan itu terbabas dan merempuh penonton yang berada di kawasan yang dibenarkan untuk menyaksikan sukan permotoran itu.

'Drag' ialah perlumbaan kereta atau motosikal di trek pendek dan lurus, dengan pelumba dikehendaki menghabiskan cabaran dalam tempoh paling singkat. Ia menggunakan enjin berkuasa tinggi dan mengeluarkan bunyi bising.

Ahmad Shabery berkata sukan itu tidak patut dihentikan semata-mata kerana kemalangan tersebut kerana dikhuatiri mereka yang meminati sukan itu akan berlumba secara haram termasuk di tempat awam yang jauh lebih bahaya.

"Perlumbaan ini adalah satu sukan yang dianggap sebagai satu aktiviti pembangunan belia yang mana mereka boleh memahami konsep sukan permotoran daripada segi kejuruteraan, kecekapan pemanduan dan sebagainya," kata beliau.

Ahmad Shabery berkata beliau juga akan melihat kepada penubuhan badan induk sukan berkenaan kerana pada masa ini tiada badan khusus bagi mengawal selia sukan itu dengan lebih berkesan.

"Kita ada beberapa badan dan persatuan yang melibatkan sukan permotoran tetapi adakah ia merangkumi perlumbaan seperti ini. Saya perlu mendapatkan lebih maklumat tentang perkara itu," katanya.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS