Most Read
Most Commented
Read more like this

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Umno melakukan reformasi dan mengisi perubahan di kalangan orang Melayu selepas kejayaan pembangunan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Datuk Ibrahim Saad berkata ahli-ahli Umno kini berasa kebebasan mereka untuk mengeluarkan pendapat dan membuat pilihan tersekat -merujuk saranan Majlis Tertinggi parti itu agar dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Ibrahim melahirkan rasa hairan bagaimana Umno sebagai sebuah parti Melayu yang sentiasa mempelopori perubahan dan reformasi bangsa tetapi kini gagal memenangi hati bangsanya sendiri. "Sejak penubuhan Umno, reformasi merupakan laungan yang popular dalam parti; ia menyatukan dan mengukuhkan parti," katanya dalam edisi terbaru majalah mingguan serantau, Asiaweek, yang mula dijual semalam. Reformasi, menurutnya, bukan ciptaan Anwar walaupun bekas pemimpin nombor dua parti itu berjaya memanfaatkan keinginan orang Melayu untuk bersuara dan memperkatakan kebenaran.

Sejak kegawatan ekonomi pada 1997, pergeseran antara Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed dengan timbalannya semakin ketara, antaranya isu menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kroni Mahathir, termasuklah anak PM sendiri. Menjelang perhimpunan agung Umno pada tahun berikutnya, kumpulan Anwar mula melancarkan kempen politik atas nama reformasi dan menyerang amalan korupsi, nepotisme dan kronisme Mahathir. Kempen politik, bukannya isu moral pemimpin, inilah yang akhirnya dilihat sebagai faktor utama pemecatan Anwar dari parti.

Tulisan bertajuk [#1]"Reform Umno"[/#] (Reformasikan Umno) itu menyebutkan kehendak kebendaan dan fizikal sahaja tidak mencukupi tetapi orang Melayu kini berusaha mencapai tahap kebebasan yang lebih tinggi. "Usaha kerajaan dalam hal ini tidak mencukupi," tulisan itu dipetik. "Tiba-tiba terdapat ruang kosong. Apakah yang diingini lagi [oleh orang Melayu] selepas memperolehi kemerdekaan, pendidikan dan kejayaan ekonomi?"

Tokoh Umno Pulau Pinang itu juga mempersoalkan kegagalan Umno untuk menarik perhatian golongan muda. "Kenapa Umno gagal menarik perhatian orang Melayu [untuk melakukan reformasi dan perubahan], khususnya golongan muda?" Ibrahim melahirkan kebimbangannya bahawa kegagalan Umno itu menguntungkan parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan.

Dalam pilihanraya umum lalu, Umno kehilangan pengaruh di kalangan orang Melayu. Sebanyak 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu berjaya dimenangi PAS. Parti Islam itu juga semakin menguatkan pengaruhnya di Kelantan, selain memenangi lebih banyak kerusi di Kedah dan membuka laluan di kawasan-kawasan kubu pengundi Melayu - sebelum ini dikuasai Umno - di Pahang, Perak, Perlis dan Selangor. Kemerosotan mendadak ini bermula selepas Anwar dipecat, dipenjara dan dibicarakan yang kini menjadi isu utama di kalangan pemimpin Umno menjelang pemilihan agung parti pada Mei depan.

Ibrahim sendiri tewas di tangan isteri Anwar yang baru menceburi politik, Dr Wan Azizah Ismail, di Permatang Pauh dalam pilihanraya umum November lalu dalam satu pertandingan yang dilihat sebagai percubaan untuk 'memusnahkan' pengaruh tokoh Umno itu di Pulau Pinang.

Bekas Timbalan Ketua Menteri dalam tulisan itu juga berkata, "walaupun ahli-ahli parti mesti menerima keputusan pimpinan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan teratas, tetapi ramai ahli secara diam-diam membenci keputusan itu."

"Keputusan itu memberikan gambaran di kalangan ahli-ahli akar umbi bahawa Umno tidak lagi menjunjung semangat pertandingan - proses demokrasi dalam parti semakin terhakis."

Ibrahim sebelum ini dikecam oleh penyokong Anwar kerana dilihat tidak bersimpati dan membiarkan kejatuhan bekas pemimpin yang pernah menggilap kerjaya politiknya itu. Bagaimanapun, kenyataannya dalam Asiaweek ini dipercayai mempunyai hubungan dengan gerakan politik untuk melakukan perubahan dalam Umno, khususnya mencabar kepimpinan Mahathir-Abdullah.

Ibrahim, dan ramai lagi penyokong Anwar dalam Umno, kini dipercayai bekerja dalam kumpulan bekas pemimpin Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk bertanding sekurang-kurangnya di peringkat timbalan presiden parti. Minggu lalu, Ku Li bagaimanapun menafikan desas-desus itu walaupun lebih separuh ahli Umno dipercayai akan bersamanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS