BERITA Malaysiakini

Isu pinjaman siswa Unisel: Menteri salahkan Anwar

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri pengajian tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyalahkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pinjaman kepada pelajar baru Universiti Selangor kerana menggesa supaya siswa tidak membayar semula pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sedangkan, exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali sendiri mengakui bahawa "PTPTN diwujud untuk membantu golongan yag perlukan pembiayaan," katanya.

"Beritahu Anwar yang gesa peminjam jangan bayar hutang PTPTN. Bagi Pakatan Rakyat dan PKR, PTPTN menyebabkan pelajar berhutang dan atas sebab itu mereka gesa pelajar jangan bayar balik hutang PTPTN," katanya.

Halimah yang tidak mahu pelajar dijadikan "mangsa politik pihak tertentu" berkata demikian ketika mengulas tindakan PTPTN menggantung pinjaman untuk siswa baru Universiti Selangor, seperti dilaporkan semalam.

Mengulas perkara itu, Khaled berkata Unisel boleh menghapuskan yuran pengajiannya memandangkan Anwar telah menganjurkan supaya PTPTN ditutup.

"Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yang dilaungkan Anwar dan Pakatan," katanya lagi dalam tulisan di laman Twitter malam tadi.

Anwar pada Sabtu lalu dilaporkan membuat seruan itu dalam ucapannya kepada 10,000 orang di kawasan parlimennya, Permatang Pauh.

Anwar dipetik sebagai berkata, Pakatan Rakyat didakwa akan memansuhkan PTPTN dalam tempoh setahun sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini dan jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya.

Skim pinjaman itu akan digantikan dengan pendidikan percuma dari peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi, untuk semua rakyat Malaysia, kata Anwar lagi.