Beberapa jam sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijadualkan menyiarkan rakaman perhimpunan Bersih 3.0, DAP telah melancarkan videonya mengenai protes jalanan 28 April di Kuala Lumpur.
Memberi tumpuan kepada keganasan polis, video yang disunting
selama 15 minit bertajuk 'Bersih 3.0 Semangat Bersih, Harapan Negara' , mempunyai sarikata dan naratif dalam bahasa Melayu.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, yang menayang video tersebut pada sidang media di ibu pejabat DAP pagi ini, berkata rakaman itu membuktikan bahawa perhimpunan tersebut berjalan secara aman dan meriah sehinggalah polis terlibat.
Katanya, tiada sebab mengapa pihak polis patut bertindak agresif seperti itu terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersenjata.
Video itu, Pua berkata, turut mendedahkan "percanggahan dan kepura-puraan" perdana menteri terhadap perhimpunan untuk pilihan raya yang bersih dan adil.
Untuk menyokongnya, rakaman tersebut mengandungi klip Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar secara terbuka di Kuching, Sarawak, pada 27 April bahawa kerajaan akan melindungi keselamatan pesertanya dan malah jika perlu menyediakan air mineral dan makanan jika mereka haus dan lapar.
Semasa perhimpunan tersebut, bagaimanapun, air kimia dan gas pemedih mata telah dilepaskan ke arah mereka di pinggir Dataran Merdeka, manakala ramai yang didakwa dipukul polis.
[Baca berita penuh]
