Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) mempunyai kuasa yang sangat luas dan boleh menyiasat sesiapa sahaja berhubung aduan yang diterima.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata, merujuk kepada Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
2009, sebahagian besar kerja utama suruhanjaya itu adalah menyiasat dan mencegah salah laku.
Selain menyiasat individu, Nor Afizah berkata, suruhanjayanya juga boleh menyiasat mana-mana agensi kerajaan.
“Ya, kami tidak hanya menyiasat orang. Kadangkala ia adalah proses yang ada cacat dan kekurangan dalam integriti. Katakanlah, aduan itu adalah mengenai proses mengeluarkan Mykad. Maka kita perlu siasat agensi bukan orang. Perbuatan (siasatan) itu meliputi bukan sahaja pegawai penguatkuasa tetapi agensi-agensi juga,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.
Selain itu, ketika ditanya mengenai tanggapan orang ramai mengenai ‘pekerja kerajaan yang tidak akan ‘menggigit’ tangan orang yang memberinya makan’, Nor Afizah berkata, penilaian itu tidak adil baginya.
Jelas Nor Afizah, walaupun ada pihak yang mengatakan kerajaan yang membayar gaji mereka, tetapi beliau menegaskan duit tersebut adalah duit pembayar cukai.
“Penilaian yang tidak adil dan orang itu bukan saya. Walaupun anda mengatakan kerajaan membayar (gaji) saya, dari mana kerajaan dapat duit? (ia) duit pembayar cukai. Bukan hanya kerajaan sahaja yang membayar saya.
“Saya dibayar untuk membantu kamu semua,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah SIAP juga mempunyai kuasa untuk menyiasat tanpa aduan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes-kes tertentu, Nor Afizah berkata, dengan kuasa yang ada, ia boleh dilakukan.
“Kami mempunyai kuasa yang sangat luas. Sebahagian besar kerja yang utama pada masa ini ialah menerima aduan. Kita juga ada mekanisme untuk mengesan, menyiasat dan mencegah salahlaku. Melindungi kepentingan awam dalam mencegah dan menangani salah laku seseorang pegawai penguatkuasa, menggalakkan kesedaran, mendidik masyarakat, membuat cadangan kepada kerajaan.
“Jadi kuasa kita adalah sangat luas. Tetapi sebahagian besar beban kerja kita sekarang mengendalikan aduan. Jadi kita boleh melakukannya (menyiasat tanpa aduan),” katanya.
Selain itu, ketika ditanya mengenai SIAP adalah bayangan kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), Nor Afizah menjelaskan, tidak adil jika hanya melihat kesalahan polis.
“Apa yang salah tentang hal itu. Walaupun dengan suruhanjaya ini kami mengendalikan aduan kerana mereka datang dan kebanyakannya terhadap polis, saya tidak lihat ketetapan suruhanjaya itu kerana saya hanya menyertai (SIAP) pada Januari. Tetapi objektif (SIAP) dipenuhi.
“Persepsi bukanlah suatu yang boleh dinafikan dan diselesaikan semalaman. Kami lakukan kerja-kerja kami. Kita tidak boleh tunduk. Sukar untuk lakukan tetapi kita tidak putus asa dalam mencapai integriti. Kita masih mahu hidup dengan integeriti walaupun sukar,” jelasnya.
