Perbicaraan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di Perancis bukan satu perkara yang diberikan perhatian oleh Malaysia buat masa ini, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman.

NONE "Ini bukan perkara serius yang kita perlu ikuti dan ia hanya diuar-uarkan pihak tertentu," katanya ketika ditanya persediaan Malaysia menghadapi perbicaraan itu.

Namun, Malaysia akan melakukan persediaan yang sewajarnya untuk menghadapi perbicaraan itu apabila keadaan memerlukan, katanya lagi.

"Setakat ini dari kedutaan (Perancis) pun kita belum terima apa-apa maklumat.

"Tetapi kalau perlu, kita sedia pertahankan," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama ketua wakil negara-negara ASEAN di Kuala Lumpur sebentar tadi.

NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebelum ini memfailkan tindakan mahkamah di Perancis untuk menyiasat unsur rasuah dalam penjualan dua kapal selam Scorpene oleh syarikat DCNS yang berpangkalan di sana.

Peguam Perancis, Joseph Breham yang mewakili Suaram mendakwa, DCNS membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, untuk kerja-kerja "kejuruteraan komersial".

Menurutnya, hakim siasatan Perancis yang menyiasat kes tersebut ingin tahu tujuan sebenar bayaran itu dilakukan kepada Terasasi yang dimiliki ayah kepada Abdul Razak Baginda, rakan rapat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan berkaitan, Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar supaya Kementerian Pertahanan menjawab dakwaan penjualan dokumen rahsia berkaitan urusniaga kapal selam itu.

Usul tersebut difailkan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pada Khamis lalu di bawah Perintah Tetap 18(11).

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini