Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Mat Sabu: Isu Syiah timbul kerana hubungan Iran-AS

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Isu mazhab Syiah dan pertambahan pengikutnya di Malaysia timbul kembali dipercayai ada kaitan dengan hubungan Iran dan Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, tekanan terhadap pengikut mazhab itu berpunca daripada rasa tidak senang AS terhadap kerajaan Iran yang majoritinya penduduknya adalah Syiah sehingga membawa kepada tekanan terhadap mereka di seluruh dunia.

"Dahulu (waktu pemerintahan) Shah Iran, Syiah tiada masalah pun.

"Dulu Iran baik dengan Amerika tak timbul pun cerita ini. Sekarang mungkin sebab Iran dah tak baik dengan Amerika maka cerita ini timbul semula," kata Mohamad Sabu yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Timbalan presiden parti Islam itu mengulas liputan khas lima muka surat akhbar Sinar Harian semalam berkenaan perkembangan mazhab itu di Malaysia mutakhir ini.

Syiah pernah dikategorikan sebagai sesat namun kini ia dibenar untuk diamalkan di Malaysia tetapi tidak dibenar untuk disebarkan.

Walaupun bukan berasal dari Iran, majoriti penduduk negara itu adalah pengikut Syiah.

Pada masa sama, dasar luar Iran menolak campurtangan luar dalam hal-ehwal serantau dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kecuali Israel, dan Amerika Syarikat sejak kejatuhan pemerintahan Shah Iran.

Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata polemik tentang gerakan Syiah di negara ini adalah isu lama yang tidak penting pun untuk dibahaskan.

"Saya pun tak tahu kenapa artikel ini timbul semula. Benda ini bukan perkara baru," katanya.

Beliau turut membidas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya dalam akhbar sama yang menyifatkan Syiah sebagai "agama politik".

"(Fathul Bari) Umno dengan PAS pun dia tak boleh nak bezakan jadi buat apa dia nak bincang (agama politik).

"Yang penting fokus perjuangan menegakkan keadilan," katanya.