Nizar: Polis rampas telefon, komputer

   

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa polis merampas telefon bimbit dan juga komputernya dalam tiga operasi mengejut semalam.

"Dua pejabat pusat khidmat saya di Manjong dan di Bukit Gantang, ibu pejabat PAS Perak serta rumah saya diserbu polis dari Johor. Handphone (telefon bimbit) dan notebook diambil," katanya di Twitter .

Tindakan polis itu dipercayai berhubung siasatan yang dijalankan ke atas Nizar berhubung kenyataannya mengenai nombor pendaftaran WWW1 yang menimbulkan kemurkaan Sultan Johor.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan, tiga pejabat Nizar, masing-masing di Ipoh, Bukit Gantang dan Pasir Panjang digeledah polis Johor dalam operasi bermula jam 11.30 pagi.

Polis turut menyerbu kediamannya di Sungai Rokam, namun Nizar pada masa itu tiada di rumah, menurut laporan tersebut.

Jurucakap PAS perak, Safarizal Saleh yang dipetik dalam laporan tersebut berkata, pasukan polis tersebut hadir bersama waran kebenaran daripada mahkamah yang menyatakan serbuan dibuat di lokasi berkaitan bagi mencari bahan bukti.

Menurutnya, kehadiran pasukan itu yang menjalankan operasi serentak di empat kawasan berkenaan agak mengejutkan kerana tiada makluman awal dibuat.

“Sepanjang penyiasatan itu berlangsung, kita memberikan kerjasama yang baik, malah beberapa peguam kita turut serta dalam operasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan, operasi mengambil masa antara 30 hingga 45 minit, namun tidak dapat dipastikan sama ada bahan bukti yang dicari dijumpai atau tidak,” katanya yang memaklumkan, tiada sebarang soal siasat dijalankan membabitkan kakitangan di tiga pejabat operasi berkenaan.

Malaysiakini
terkini untuk anda