Parti Keadilan Rakyat hari ini mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan menghantar ahli perniagaan Sri Lanka BSA Tahir terus untuk ditahan di Kem Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bertujuan untuk melindungi pihak-pihak tertentu yang mungkin terbabit dengan kegiatannya.

"Tahir telah dihantar terus ke Kem Tahanan Kamunting, Taiping, tidak seperti tahanan-tahanan ISA yang lain di mana mereka akan ditahan di bawah Seksyen 73 akta yang sama bagi tujuan penyiasatan tidak melebihi 60 hari," kata presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Keadilan dengan ini menggesa agar kerajaan berhenti menggunakan kuasa di bawah ISA bagi kepentingan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahir dikatakan telah menjadi orang tengah dalam sindiket pasaran gelap nuklear apabila dia menggunakan syarikat tempatan Scomi Precision Engineering Sdn. Bhd. (Scope) untuk bahagian-bahagian tertentu bagi membuat unit emparan.

Emparan merupakan satu silinder berputar pantas yang boleh digunakan bagi memperkayakan uranium untuk digunakan sebagai bahan ledakan bom nuklear.

Scope merupakan anak syarikat Scomi Group Berhad di mana sebahagian besar sahamnya dimilik oleh anak perdana menteri, Kamaludin Abdullah.

Komponen

Scope membekalkan 12 jenis komponen kononnya untuk industri petroleum dan gas sedangkan ia sebenarnya untuk dijadikan sebahagian daripada komponen tertentu dalam pembuatan emparan uranium di Libya.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, kerajaan sebelum ini telah menegaskan Tahir dan Scomi tidak membuat apa-apa kesalahan berdasarkan undang-undang dengan menghasilkan emparan tersebut.

"Pihak polis juga telah menyelesaikan penyiasatan dan mengesahkan perkara tersebut. Namun, penahanan beliau (Tahir) di bawah Seksyen 8, Akta ISA baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan," katanya.

Katanya, ini bukan sahaja menunjukkan kenyataan kerajaan sebelum ini tidak benar tetapi cara dan bagaimana Tahir ditahan juga dipersoalkan seolah-olah bertujuan untuk melindungi pihak tertentu yang mungkin terbabit dengan kegiatannya.

Berikutan itu, katanya, Tahir hendaklah dihadapkan di mahkamah terbuka agar dapat dibicarakan secara adil dan bagi memastikan setiap yang terlibat diambil tindakan yang sewajarnya, memandangkan ia merupakan isu keselamatan negara.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) juga memandang serius penyalahgunaan Akta ISA secara berterusan termasuk menahan Tahir yang dituduh menipu Scomi dalam membekalkan peralatan nekluar secara haram.

Subahat

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata pihaknya tidak menolak tindakan Tahir memperdagangkan peralatan nuklear boleh membahayakan keselamatan dan ekonomi negara, tetapi ia tidak bermakna kerajaan patut menyalahgunakan ISA bagi menangani masalah tersebut.

Dalam satu kenyataannya, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Krian berkata, pihaknya hairan mengapa hanya Tahir yang dikenakan tindakan undang-undang sedangkan Scomi dilepaskan begitu sahaja.

Menurutnya, Tahir didakwa menipu Scomi dengan mengatakan peralatan tersebut untuk kegunaan mencarigali petroleum, sedangkan Scomi adalah syarikat yang terlibat secara langsung dengan cari gali tersbut.

"Jika peralatan tersebut digunakan untuk nuklear, sudah tentu ia mempunyai pattern yang berbeza dengan peralatan carigali petroleum, dan ia pasti disedari oleh Scomi," katanya.

Oleh itu, katanya DPP mengesyaki berlaku persubahatan di antara Tahir dan Scomi, syarikat milik anak perdana menteri itu.

"DPP pusat percaya tindakan kerajaan menahan Tahir di Kamunting adalah untuk mengelak skandal dan penglibatan Scomi dalam isu ini didedahkan kepada umum," tegasnya.